Malaysia Dateline

DAP dakwa naik taraf sekolah daif di Sarawak terlalu mahal

Parti Democratic Action (DAP) Sarawak mendakwa naik taraf sekolah daif di negeri ini adalah terlalu mahal dengan anggaran setiap sekolah berkenaan ialah berjumlah RM8 juta.

Menurut Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, jumlah sekolah yang daif di negeri ini telah ditingkatkan dan dipulihkan pada 2019, 2020 dan 2021.

Katanya, kebanyakan projek-projek sekolah yang di naik taraf itu telah dan masih dilaksanakan serta ada yang digunakan oleh pihak sekolah setakat ini.

Bagaimanapun, jelasnya menurut jawaban Timbalan Menteri Pendidikan di Parkimen, dari tahun 2019 hingga 2021 terdapat sekitar 180 projek sekolah daif yang dilaksanakan dengan anggaran peruntukan RM1.5 bilion.

“Tetapi yang menjadi persoalan ialah antara 180 projek ini, beberapa sekolah tersebut telah siap dan sebahagian besar masih dalam proses.

” Ini adalah angka yang sangat mengejutkan untuk membaiki dan menaik taraf projek sekolah yang usang dan daif dengan purata RM8 juta setiap sekolah.

” Untuk jawapan Timbalan Menteri, saya mengajukan pertanyaan tambahan kepada beliau tentang bagaimana kerajaan dapat membenarkan peruntukan baik pulih dan peningkatan sekolah yang tinggi ini memandangkan sekolah-sekolah ini rata-ratanya hanya mempunyai seramai 100 hingga 200 pelajar per sekolah.

“Adakah peruntukan RM8 juta per sekolah ini benar-benar untuk sekolah-sekolah atau sebahagian besarnya adalah untuk mereka yang diberi projek?,” soal Chong.

Malah, beliau mempersoalkan jumlah yang dilaporkan oleh Timbalan Menteri bahawa pada November 2020, dilaporkan masih terdapat 647 sekolah daif di Sarawak yang menunggu untuk diperbaiki dan dinaik taraf.

“Sejauh mana kerajaan melakukan pekerjaan tersebut dan bilakah semua sekolah berkenaan akan diperbaiki.

‘Malangnya, untuk kedua-dua soalan tambahan saya itu, Timbalan Menteri tidak mempunyai jawapan. Dia hanya menjawab bahawa kos membaiki dan menaik taraf projek sekolah di Sarawak telah dipersetujui oleh semua agensi kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak,” tambahnya lagi.

Chong berkata, sejak Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan bersama sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS), isu sekolah daif di Sarawak seolah-olah senyap tidak seperti ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

” Adakah kerana harga tinggi dan keuntungan yang lumayan dari projek-projek sekolah daif telah mematikan deria dan rasa tanggungjawab Kerajaan GPS?

“Justeru, saya mengulangi walaupun kita semua ingin mempunyai kemudahan sekolah yang baik untuk anak-anak, GPS, tidak boleh menganggap projek pendidikan ini sebagai ATM untuk menjadi kaya dan mendapatkan sumber kewangan mereka ” jelas Chong.