Malaysia Dateline

DAP dakwa wakil rakyat GPS berkempen ketika pandemik menular

Parti Tindakan Rakyat (DAP) Sri Aman Sarawak melahirkan rasa kesal dan mendakwa bahawa seorang wakil rakyat dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) hadir di beberapa rumah panjang untuk berkempen dalam situasi pandemik Covid-19 yang semakin naik di kawasan terbabit.

Pengerusi DAP Sri Aman, Leon Jimat Donald berkata, pihaknya dimaklumkan oleh orang ramai bahawa wakil rakyat berkenaan telah hadir pada beberapa program di rumah panjang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakilinya.

“Dikatakan seorang wakil bersama-sama rombongannya berkunjung untuk berkempen memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 bakal diadakan nanti.

“Rombongan ini didakwa terdiri antara dua atau lebih individu yang dilihat memakai tanda gelang kuarantin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Manakala rumah panjang yang dikunjungi yang kini dikurung adalah Rh Bandi yang terletak di Sebangkoi di Ulu Undup,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas beliau, rombongan itu juga dilaporkan hadir berkempen di Sungai Tanduk dan Empadi yang turut terletak di Ulu Undup di Bahagian Sri Aman.

“Secara peribadi saya berasa kesal kerana kehadiran di kawasan rumah panjang secara sedar mendedahkan rakyat kepada wabak yang mudah dijangkiti itu.

“Justeru, saya mengutuk tindakan berkenaan dan menggesa pihak berkuasa untuk melihat perkara ini dengan serius dan tindakan harus diambil dengan sewajarnya,” jelas Leon Jimat.

Tambahnya, sebelum ini semua ahli DAP dinasihatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tinggal di rumah, memantau keadaan dan tetap selamat.

“Kami melakukan yang terbaik untuk mengikuti peraturan dan undang-undang yang dinyatakan kerana tidak mahu membahayakan nyawa rakyat,” ujarnya.