Malaysia Dateline

DAP dan PH yakin boleh menang PRU-15, bukan tunggu 10 tahun lagi

Setiausaha Agung DAP, Antony Loke yakin, Pakatan Harapan dan DAP akan menang balik Putrajaya dalam PRU-15, tanpa perlu menunggu 10 tahun lagi.

“Saya tidak percaya PH hanya akan menang semula 10 tahun lagi.

“Saya yakin, dalam PRU-15, PH dan DAP boleh menang balik Putrajaya, bukan tunggu 10 tahun lagi,” kata Loke, bekas Menteri Pengangkutan ketika PH memerintah negara sebelum ini.

Beliau dipercayai berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan ahli Parlimen Permatang Pauh dari PKR, Nurul Izzah Anwar bahawa PH hanya akan boleh menang dua penggal lagi bukan dalam PRU-15.

Loke berkata demikian dalam ucapan awam pertama yang dilakukan selaku Setiausaha Agung DAP malam tadi di majlis Sepetang Bersama Anthony Loke di Batu Caves, Selangor yang dianjurkan oleh pemimpin India DAP Selangor untuk meraikan perlantikan beliau selaku Setiausaha Agung DAP.

Bagi Loke, kerja yang paling penting selaku Setiausaha Agung DAP adalah untuk memberikan keyakinan dan semangat baru untuk semua ahli DAP.

Ini berikutan ramai yang tidak jelas apakah Pakatan Harapan dan DAP boleh menang dalam PRU-15.

“Sebab ada pemimpin dalam Pakatan Harapan yang berkata, PH tidak ada harapan.

“But i do not subscribe to that thinking (Saya tidak percaya dengan pemikiran itu),” kata Loke.

Bagi beliau, DAP akan menyertai PRU-15 untuk menang bukan untuk menyertai pilihan raya semata-mata.

“Kita tidak boleh masuk gelanggang untuk kalah. Kalau masuk gelanggang tanpa yakin untuk menang, baik kita bagi BN menang percuma,” kata beliau.

Menurut Loke, selepas dilantik menjadi Setiausaha Agung beliau telah membuat pelbagai pertemuan dan perbincangan dengan pelbagai pihak untuk membina jambatan.

“Ia bertujuan untuk mempersiapkan diri kita dengan membuat jaringan dengan pelbagai pihak untuk hadapi pilihan raya,” kata beliau.

Menurut Loke, MoU dengan kerajaan menyatakan pilihan raya tidak akan dibubarkan sehingga 31 Julai 2022.

“Oleh itu, Parlimen boleh dibubarkan bila-bila masa sahaja selepas 1 Ogos 2022,” kata beliau.