Malaysia Dateline

DAP dapat derma RM3.9 juta bantu Lim Guan Eng

Sebanyak RM 3.947 juta berjaya dikumpulkan sepanjang kempen kutipan derma “RM10 Solidariti bersama Lim Guan Eng”.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, kempen seminggu bermula 8 Ogos lalu itu bertujuan mengumpulkan dana untuk menanggung kos bayaran ikat jamin Guan Eng untuk ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya.

“Ratusan ribu rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang kaum telah menyertai dan menyumbang kepada kempen ini, mengumpulkan sehingga RM 3.947 juta setakat penutupan kempen tengah malam semalam.

“Respons yang ditunjukkan ini telah melangkaui semua jangkaan. Perkara ini menunjukkan yang rakyat amat marah terhadap pendakwaan berpilih daripada mereka yang berkuasa terhadap Lim Guan Eng sedangkan kes tersebut tidak mempunyai sebarang merit,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Damansara berkata, Guan Eng telah menyatakan yang beliau tidak bersalah memandangkan kontrak pembinaan terowong itu telah dianugerahkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Kontrak itu, jelasnya, melalui satu operasi tender terbuka antarabangsa dan kemudiannya dicadangkan oleh penjawat awam kanan daripada kerajaan negeri dan persekutuan.

“Tambahan lagi, tidak ada satu sen pun wang yang telah dibayar untuk projek terowong ini memandangkan ianya dijadualkan untuk bermula hanya selepas tahun 2023, selepas semua syarat-syarat berkenaan telah diluluskan,” ujarnya.