Malaysia Dateline

DAP desak kembalikan Parlimen, elak demokrasi terus dikhianati

DAP mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan sidang Parlimen dengan segera sebagai menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan ketidakstabilan politik hanya menambah buruk keadaan krisis di negara ini memandangkan Muhyiddin sudah kehilangan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Bagan itu menyarankan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu ditunda ketika pandemik Covid-19 masih menular.

“Penggantungan Parlimen tidak akan menghentikan tetapi hanya memanjangkan krisis.

“Bagi memecah kebuntuan politik, DAP ingin mencadangkan agar Parlimen dikembalikan dan semua parti politik memberi komitmen untuk menunda pilihan raya umum sehingga wabak global ini berakhir,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, mengikut tarikh asal, persidangan Parlimen dijadualkan pada 8 Mac depan.

Pada masa ini, kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya mempunyai 109 sokongan ahli Dewan Rakyat serentak dengan konflik antara Umno dan Bersatu semakin membahang.

Guan Eng berkata, PRU-15 sama ada hanya akan diadakan selepas akhir penggal 2023 atau termasuk kemungkinan kerajaan sekarang digantikan oleh kerajaan lain yang mendapat sokongan majoriti.

Hal ini, tegasnya, kerajaan perlu ditadbir secara kompeten serta kepentingan rakyat harus menjadi keutamaan kerana Malaysia tidak mampu terus gagal sehingga rebah menyembah bumi.

“Selepas empat hari titah diraja yang menjelaskan bahawa darurat tidak termasuk penggantungan Parlimen, kerajaan masih terus membisu dan masih tiada usaha dari Speaker Parlimen Azhar Harun untuk mengadakan mesyuarat Parlimen dengan secepat mungkin.

“Sikap berdiam diri dan berpeluk tubuh seperti ini adalah tindakan pengkhianatan terhadap demokrasi dan boleh dilihat sebagai penderhakaan terhadap Agong,” kata Guan Eng lagi.

Pada 24 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Baginda menegaskan bahawa sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak Eksekutif, Kehakiman mahupun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut.