DAP desak Menteri besar,Exco Perak  isytihar harta

DAP desak Menteri besar,Exco Perak isytihar harta

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan Umno-BN Perak mengambil langkah mundur dengan membuat keputusan bahawa anggota Exco negeri tidak perlu mengisytiharkan harta kepada Dewan Undangan Negeri (Dun).

Sehubungan itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, mahu kerajaan negeri Perak meminda keputusan Exco pada 29 Februari 2012 itu bagi membolehkan pimpinan negeri membuktikan ketelusan dan kejujuran melalui pengisytiharaan harta mereka kepada rakyat melalui Dun Perak.

“Kerajaan negeri juga dikehendaki supaya meminta nasihat dari SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk garis panduan pengisytiharan harta supaya ia dapat memenuhi hasrat rakyat untuk melihat sebuah kerajaan yang bersih dan penuh bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini yang dipetik dari portal parti itu.

Menyifatkan amalan kerajaan Umno-BN pada masa ini sebagai melanggar prinsip ketelusan dan akauntabiliti, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping serta Adun Kepayang, menjelaskan keputusan kerajaan negeri pada 2012 itu menetapkan ahli Exco Perak hanya perlu mengisytiharkan harta kepada Menteri Besar, tanpa perlu diketahui oleh rakyat.

Tidak cukup dengan itu, katanya, keputusan tersebut juga membolehkan Menteri Besar mendapat keistimewaan dengan tidak perlu mengisytiharkan harta kepada sesiapa pun.

“Keputusan itu sangat mengecewakan kerana ia jelas bercanggah dengan prinsip ketelusan dan akauntabiliti pentadbiran kerajaan yang bersih.

“Amalan sedemikian tidak membantu dalam mengatasi isu seperti ‘derma’ RM2.6 bilion daripada berulang pada masa depan kerana ketiadaan ketelusan dalam aspek harta benda barisan Exco,” katanya.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, kerajaan negeri Perak gagal mengikut jejak langkah kerajaan Pakatan Harapan di Pulau Pinang dan Selangor yang menuntut setiap Ketua Menteri atau Menteri Besar serta Exco untuk mengisytiharkan harta kepada umum.

“Perlu diperhatikan kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah Pakatan Harapan telah menuntut Ketua Menteri dan barisan Exconya mengisytiharkan harta mereka secara terbuka dan diaudit oleh akauntan bertauliah sejak tahun 2010.

“Selain itu, kerajaan negeri Selangor juga mengkehendaki pimpinan kerajaan negeri mengisytiharkan harta mereka di laman web rasmi kerajaan Negeri.

“Amat kecewa apabila kerajaan Negeri Perak telah gagal mencontohi teladan baik negeri pimpinan di bawah Pakatan Harapan,” ujarnya.

Malah, beliau berkata, kerajaan negeri Pahang pimpinan Umno-BN kini sudah bersedia untuk berdepan dengan rakyat, seperti yang dilaporkan media, apabila mengemukakan cadangan untuk mengambil langkah yang sama pada tahun ini.

TAGS