Malaysia Dateline

DAP diberi amaran henti bertegang dengan polis

DAP diingatkan supaya menghentikan watak celupar, kurang ajar dan biadab seolah-olah memaksa pihak polis tunduk kepada desakan dan kemahuan mereka.

Ir Khairil Nizam Khirudin

Amaran itu disuarakan oleh Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat,yang turut mengingatkan parti itu agar tidak menyimbah petrol kepada api dan menghentikan adu domba yang membakar sumbu persengketaan.

“Jangan cuba memalit imej buruk yang direka fitnah ke atas pasukan penting negara. Apakah kerana memegang kuasa politik, maka DAP menzahirkan keberanian untuk bertentang dengan pihak polis?

“Para pemimpin DAP berterusan dengan sikap bebal apabila bertindak menyanggah pihak polis ekoran pembatalan Kongres Pertubuhan Cina anjuran Dong Jiao Zong.

“Kecaman dilepaskan DAP ternyata bernada serangan, sekali gus mempertikai, merendah dan mencalarkan wibawa pasukan keselamatan. Ia menyerlahkan sikap angkuh terhadap kedudukan dan kuasa mereka pada ketika ini,” bidasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam isu sama, Khairil berkata, tindakan mereka yang mempersoalkan kononnya pihak polis telah bertindak tidak adil dengan membandingkan Kongres Maruah Melayu, hanyalah alasan dangkal.

“Malah, ianya emosi semberono dan diada-adakan tanpa penilaian seimbang lagi berakal pendek. Kongres Melayu berjuang mempertahankan hak sedia termaktub, sedangkan Kongres Cina mencabar untuk membuang atau mengenepikan ketetapan.

“Bukankah itu satu bentuk gugatan melampau, bahkan berkepentingan satu pihak? Kami berharap kuasa politik atau permainan tangan-tangan ghaib tidak memangsakan pasukan Polis.

“Kami menyaksikan tindakan diambil pihak polis adalah selaras peranannya dalam mengawal ketenteraman awam. Sikap DAP hanya akan membibitkan buruk sangka dan curiga yang keterlaluan,” katanya lagi.

Khairil turut menyifatkan parti itu sudah sekian kali umpama api dalam sekam, menyemarakkan sentimen perkauman dan penentangan radikal serta provokasi yang boleh menggalakkan pertembungan.