DAP didakwa pecat ahli kerana kritik tindakan parti lakukan fitnah, propaganda sebelum PRU14

DAP didakwa pecat ahli kerana kritik tindakan parti lakukan fitnah, propaganda sebelum PRU14

Bekas Timbalan Pengerusi Biro Buruh DAP Amran Ahmad Nor berkata tindakan DAP memecatnya susulan beliau mengkritik parti itu dakwanya telah menyebarkan fitnah serta melakukan propaganda jahat sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Ahmad dalam kenyataan hari ini memaklumkan beliau menerima surat pemecatan daripada Pengerusi Lembaga Disiplin parti Chong Cheng Jen yang bertarikh 15 Oktober itu, semalam.

“Saya menerima keputusan DAP itu dengan berlapang dada, sejajar dengan jangkaan dan memutuskan untuk tidak merayu atas sebab-sebab yang akan saya huraikan di bawah.

“Dengan penerimaan surat pemecatan itu, saya beranggapan, selain keahlian dalam parti selama hampir 10 tahun itu ditamatkan, saya juga ‘kehilangan’ jawatan timbalan pengerusi biro buruh DAP,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad berkata, beliau menyertai DAP pada 2009 selepas menerima panggilan daripada Lim Kit Siang yang memintanya menyertai parti itu, bagaimanapu kini beliau mendapati hala tuju dan dasar perjuangan DAP dakwanya berubah setelah berkuasa.

“Saya menyertai DAP sebagai ‘Democratic Action Party’ kira-kira 10 tahun yang lalu tetapi dipecat dari ‘Developers Action Party’, DAP yang saya anggap telah berubah hala tuju dan dasar perjuangannya selepas mendapat kuasa.

“Saya dipecat kerana mengkritik tindakan DAP menyebarkan fitnah serta melakukan propaganda jahat sebelum PRU14 – apa salah saya menegakkan kebenaran dan mengkritik tindakan salah parti atas nama demokrasi yang kononnya menjadi tunjang perjuangan DAP.

“Saya menganggap bahawa tindakan pemecatan saya dari DAP ini sebagai suatu pengkhianatan dan tindakan tidak mengenang jasa dan pengorbanan dua generasi orang Melayu dalam DAP setelah arwah bapa saya, Allahyarham Ahmad Nor menyertai DAP pada tahun 1986 dan menjadi ahli Parlimen Melayu yang pertama dari DAP.

“Saya juga merasakan tiada keperluan untuk saya berada dalam parti yang menjual prinsip perjuangan dan maruah semata-mata kerana kuasa dan jawatan – sebagai contoh 5 tahun yang lalu kata Tun M bapa perompak negara tetapi hari ini menyembah beliau saban hari,” ujarnya.

Ahmad turut berkata, beliau akan meneruskan perjuangan menjadikan Malaysia negara yang lebih baik atas platform lain.

“Semoga apa yang menimpa saya ini membuka mata rakyat negara ini terutama orang Melayu yang menyimpan hasrat untuk berjinak-jinak dengan DAP,” ujarnya.

 

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote