Malaysia Dateline

Gobind Singh Deo DAP

DAP gesa ROS jawab surat

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) perlu menjelaskan kenapa ia masih belum memberi maklum balas kepada surat yang telah dihantar kepada jabatan itu pada 21 Julai lalu berkenaan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP.

DAP menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menjelaskan kegagalan mereka memberi maklum balas berhubung surat yang yang dihantar kepada jabatan itu pada 21 Julai lalu.

Ketua Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo berkata, sikap ROS itu menimbulkan prejudis.

“Saya minta ROS menjelaskan kenapa masih terus berlengah-lengah terhadap perkara berkaitan DAP. Mula-mula, mereka ampil empat tahun buat keputusan, kemudian, ambil masa 10 hari untuk keluarkan surat maklumkan kita mengenai keputusan itu (pemilihan semula). Sekarang masih lagi bertangguh-tangguh.

“Kelewatan ini menimbulkan prejudis kepada kami. Kami tak boleh teruskan pemilihan semula tanpa sebarang maklum balas dari ROS. Jadi saya mohon kepada ROS supaya professional dan hentikan tanggu-tangguh ini, sila hantar kami maklum balas tanpa sebarang penangguhan lagi,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Pada 21 Julai lalu, DAP telah menyatakan kesediaannya untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) secara protes terhadap arahan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Pendirian tersebut dinyatakan melalui surat serahan tangan ditandatangani Naib Pengerusi Kebangsaan Teresa Kok di pejabat ROS dan telah diterima oleh Penolong Pengarah Bahagian Pematuhan, Mohamad Nawawi bin Mat.

“Walaubagaimana pun, memandangkan keputusan ini diberi kepada kami pada waktu di mana PRU14 mungkin akan diadakan pada bila-bila masa, maka DAP bersedia untuk mengadakan pemilihan semula jawatankuasa tertinggi (CEC) parti di bawah protes dan tanpa menjejaskan sebarang hak kami untuk mengambil tindakan perundangan sekiranya perlu, pada bila-bila masa”, kata Teresa Kok membacakan surat itu.

Terlebih dahulu, ROS pada 7 Julai lalu dalam satu kenyataan media tanpa memberi sebarang notis kepada DAP mengeluarkan arahan kepada DAP supaya mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) yang baharu.