DAP jadi kempen fitnah Umno-BN, kata Kit Siang

DAP jadi kempen fitnah Umno-BN, kata Kit Siang

DAP sering menjadi kambing hitam dengan pelbagai dakwaan tidak masuk akal untuk mengelirukan rakyat terhadap isu-isu kritikal yang melanda negara seperti isu rasuah skandal terbesar 1MDB, ekonomi, alam sekitar, pengangguran dan sebagainya.

Antara dakwaan yang sering dilontarkan kepada DAP khususnya Lim Kit Siang ialah mengaitkan beliau kononnya anti-Melayu, anti-Islam, pencetus tragedi 13 Mei 1969, komunis, tali barut kuasa asing dan sebagainya.

Ini termasuklah dakwaan mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia dan menguasai gabungan pembangkang dalam Pakatan Harapan kononnya negarawan dan pemimpin seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Azmin Ali dan Mohamad Sabu sekadar boneka.

Semua dakwaan karut ini bagaimanapun dijawab Ahli Parlimen Gelang Patah itu menyifatkan ia sebagai kempen fitnah ganas yang dilancarkan tentera siber Umno – BN menjelang pilihan raya umum ke-14.

“Saya telah berkecimpung dalam politik Malaysia selama 51 tahun dan cadangan untuk menjadi perdana menteri Malaysia tidak pernah terlintas dalam fikiran saya.

“Berapa ramai rakyat Malaysia yang percaya bahawa cita-cita politik saya adalah untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia dan untuk melantik Lim Guan Eng sebagai Timbalan Perdana Menteri?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kit Siang, beliau menyertai politik untuk memperjuangkan Impian Malaysia di mana semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah, semuanya bersatu dan bangga mereka adalah rakyat Malaysia

“Saya sertai politik kerana percaya dengan Impian Malaysia, yang saya yakin dikongsi oleh ramai rakyat Malaysia yang kasihnya tidak berbelah bahagi dan setia kepada negara,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, DAP sentiasa menjadi parti untuk semua rakyat Malaysia dan bukan hanya untuk kaum-kaum tertentu.

“Pemimpin DAP, yang datang dari pelbagai kumpulan etnik dan agama, tidak pernah bercita-cita untuk menjadi pemimpin untuk hanya satu kumpulan etnik atau agama.

“Kami selalu melihat diri kami sebagai mewakili semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.

“Tidak seorang pun boleh menjadi pemimpin Malaysia jika beliau menentang mana-mana kaum atau hanya memperjuangkan hak dan kepentingan hanya satu kaum,” katanya lagi.

COMMENTS

Wordpress (0)