Malaysia Dateline

Liew Chin Tong

DAP Johor harap rakyat terima peralihan kuasa kepada MB baharu

DAP Johor mengakui dalam memastikan kemenangan Pakatan Harapan (PH) di Johor pada Pilihan Raya Umum (PRU-14) lalu, Datuk Osman Sapian yang menyandang jawatan sebagai Menteri Besar di negeri itu dilihat komited menumpukan masa dan tenaga berjuang untuk kemenangan parti.

Pengerusinya, Liew Chin Tong berkata Osman merupakan seorang pemimpin yang sentiasa membuka ruang rundingan bersama dan memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah.

“Secara peribadi, saya telah bekerjasama dengan Osman dalam banyak perkara, terutama sekali ketika menyelaraskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan parti asal PH.

“Semasa berkhidmat sebagai Setiausaha dan Pemangku Pengerusi Pakatan Harapan Johor, beliau sentiasa berusaha memastikan kemenangan parti itu.

“Sehubungan itu, DAP Johor mengucapkan penghargaan kepada beliau atas sumbangannya kepada negeri Johor dan permuafakatan dengan rakan-rakan pemimpin PH sejak dua tahun lepas,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Dalam pada itu, beliau memint rakyat untuk menerima peralihan kuasa yang dilakukan secara demokrasi ini dengan baik.

Beliau turut menegaskan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah mengarahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP di Johor untuk mematuhi keputusan yang dibuat.

“DAP di Johor diminta untuk mematuhi keputusan yang dibuat oleh kepimpinan pusat DAP dalam tempoh peralihan ini, dengan perbincangan bersama rakan-rakan parti Pakatan Harapan.

“Kami juga berharap bahawa peralihan kuasa secara demokrasi, Osman kepada Menteri Besar baharu berjalan lancar dan diterima rakyat Johor.

“Malaysia perlu menjadi contoh terbaik dalam mengamalkan sistem demokrasi berparlimen secara praktikal,”ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Johor merupakan medan persaingan politik yang penting di Semenanjung Malaysia dan memerlukan semua pemimpin politik membuktikan kepimpinan dan tanggungjawab bagi memastikan pengukuhan kerajaan rakyat, daripada rakyat dan untuk rakyat.