DAP Johor komited bantu kemenangan calon PH

DAP Johor komited bantu kemenangan calon PH

DAP Johor komited membantu agar calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini dapat mengekalkan kemenangan di Parlimen Tanjung Piai yang disifatkannya perlu diberikan nafas baharu setelah kawasan itu pernah diabaikan pembangunannya oleh Barisan Nasional (BN).

Pengerusinya, Liew Chin Tong berkata, biarpun calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng pernah berkhidmat selama 20 tahun, namun ia tidak dapat menghentikan penduduk kampung yang mula berhijrah ke negeri lain untuk menambah sumber pendapatan mereka.

“Calon BN, Wee Jeck Seng mula berkhidmat di kawasan Parlimen Tanjung Piai sejak 1990-an sebagai pembantu bekas presiden MCA, Ong Ka Ting.

“Sudah lebih 20 tahun beliau berada di sini, pun begitu semakin ramai penduduk tempatan meninggalkan Tanjung Piai untuk mencari rezeki dan kehidupan yang lebih baik di tempat lain.

“Selepas membantu Ong Ka Ting, Wee bertanding dan menang di kerusi DUN Pekas Nanas atas tiket BN pada 2004. Pada 2008, beliau menang kerusi Parlimen Tanjung Piai dan mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Umum 2013. Beliau juga pernah dilantik menjadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan pada Mac 2008, hingga Jun 2010.

“Dengan prestasi yang begitu cemerlang, kita tertanya-tanya apa sudah jadi dengan Tanjung Piai. Kenapa beliau gagal membangunkan kawasan ini? Kenapa penduduk tempatan meninggalkan kampung halaman tercinta untuk mencari peluang yang lebih baik?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

katanya, Pontian dan Pekan Nanas yang kian suram dan hambar di bawah pengawasan Wee sendiri, penyebab bekas ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal itu kalah dalam PRU lalu.

“Pun begitu, dengan rekodnya yang suram itu, beliau bertegas mahu kembali,” katanya.

Sementara itu, Liew berkata, sekiranya Karmaine memperoleh sokongan penduduk, beliau akan dibantu untuk memacu usaha ke arah penambahbaikan dan kemajuan di Tanjung Piai.

Jelasya, usaha meremajakan pekan-pekan kecil di Johor yang melibatkan pasukannya sejak menyertai politik negeri Johor pada tahun 2013, sememangnya sudah diketahui ramai.

“Justeru, saya berharap supaya bersama-sama Hj Karmaine, Kerajaan Pusat dan Negeri, kita akan dapat memberi nafas baharu kepada Pontian dan Pekan Nanas.

“Politik kami tidak memandang warna kulit – kami percaya bahawa seluruh rakyat Malaysia berbilang kaum bekerja ke arah satu tujuan. Dan tidak seperti BN, kami menentang permainan perkauman secara pecah-perintah.

“Rakyat di Tanjung Piai berhak mendapatkan khidmat yang lebih baik,” ujarnya lagi.