DAP Johor mahu Hadi tunjukkan komitmen terhadap saranan Tuan Ibrahim

DAP Johor  mahu Hadi  tunjukkan komitmen terhadap saranan Tuan Ibrahim

Rakyat mahu melihat satu kolasi pembangkang yang ampuh bukan sekadar untuk berhadapan fasa pilihan raya semata-mata jika saranan genjatan senjata itu berlaku, kata Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheik Omar Ali.

Bekas ahli pas ini juga mempersoalkan adakah cadangan yang bawa oleh Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man itu, atas pengetahuan Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang.

“Saya ingin bertanya kepada Ustaz Tuan Ibrahim, apakah cadangan yang beliau utarakan ini telah dibawa ke pengetahuan Presiden PAS terlebih dahulu? Apakah Presiden PAS sudah beri perkenan?

“Seperti yang telah dipertegaskan menerusi keputusan mesyuarat Majlis Presiden, Pakatan Harapan tiada masalah untuk berbincang dengan Pas mahupun mana-mana parti atau individu dalam kerangka melawan kemungkaran dan rasuah Umno-BN.

“Isunya sekarang ini terletak pada Pas,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Permasalahan besar dalam Pas hari ini ujarnya, adalah sikap Presidennya yang sangat sukar untuk berpegang pada keputusan bersama pembangkang. Ini jelas terbukti semasa era Pakatan Rakyat dahulu.

“Sejarah menunjukkan, Hj Hadi seringkali ‘over rule’, gagal menghormati proses perbincangan dalam Pakatan Rakyat dan tidak amanah dengan keputusan bersama yang dicapai menerusi mesyuarat Majlis Presiden ketika itu.

“Hal ini terbukti menerusi isu-isu seperti pertembungan tiga penjuru dalam PRU contohnya Kota Damansara, penetapan calon Perdana Menteri, krisis MB Selangor dan juga hudud,” terangnya.

Justeru Sheikh Omar berkata, saranan ‘genjatan senjata’ ini adalah lebih utama diutarakan kepada Presiden Pas terlebih dahulu.

“Selesaikan dahulu betul-betul diperingkat rumah tangga Pas. Beri jaminan komitmen yang sebenar yang boleh dipegang oleh Pas kali ini.

“Jangan sampai pisang berbuah dua kali, nanti rakyat akan bertambah marah dan langsung hilang keyakinan terhadap pembangkang,” tegasnya.