DAP junjung kasih titah permaisuri Johor

DAP junjung kasih titah permaisuri Johor

DAP Johor dengan penuh takzim menjunjung tinggi titah Permaisuri Johor akan peri pentingnya perbezaan iktikad kepercayaan itu diraikan dan dihormati oleh segenap lapisan masyarakat rentas kepercayaan khususnya umat Islam di negara ini.

Lontaran seruan dan pandangan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah begitu tidak asing malah selari dengan gagasan yang digarap oleh DAP semenjak awal penubuhannya sehingga kini iaitu menghormati kebebasan beragama sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malah, titah baginda dilihat begitu penting kerana landskap sosial semasa hari ini seringkali menyaksikan sentimen sempit keagamaan dijadikan alat bagi mencapai sesuatu kepentingan sehingga menjejaskan keharmonian beragama sesama rakyat.

“Hal ini juga adalah amat jauh sekali dari apa yang telah diilhamkan oleh bapa-bapa pendiri Malaysia,” kata Sheikh Omar Ali, Penolong Pengarah Komunikasi DAP Johor.

Sehubungan itu, katanya, DAP akan menggembeling usaha untuk bergerak selaras dengan seruan yang dititahkan oleh baginda Permaisuri.

DAP juga akan kekal komited untuk membina sebuah Malaysia untuk rakyatnya yang harmoni dengan kepelbagaian tanpa membeza-bezakan warna kulit, kepercayaan, bahasa dan budaya serta menolak sama sekali sebarang inisiatif yang berbaur perkauman dan kebencian, katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)