Malaysia Dateline

DAP kecewa dasar ‘EnterSarawak’ susahkan rakyat

Kerajaan negeri Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat gagal berkaitan isu pelaksanaan ‘EnterSarawak’ sekali gus telah menyusahkan rakyat di negeri ini.

Pengerusi Dap Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, pada 16 Oktober lepas telah diumumkan bahawa semua rakyat Malaysia yang diberi vaksin sepenuhnya dibenarkan memasuki Sarawak tanpa perlu membuat permohonan melalui laman web Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) .

Bagaimanapun, katanya pada jam 11:30 malam hari yang sama, JPBN telah bertindak meminda dasar itu dengan memaklumkan hanya rakyat Sarawak dan penjawat awam dan swasta dari Semenanjung Malaysia yang berkhidmat di negeri ini dibenarkan memasuki Sarawak tanpa perlu membuat permohonan melalui laman web.

“Rasanya virus Covid-19 ini seolah-olah membezakan antara orang Sarawak dan bukan orang Sarawak sebelum menjangkiti seseorang.

“Langkah pembezaan yang diambil ini sama sekali tidak berdasarkan data sains dan perubatan tetapi berdasarkan sentimen politik semasa-mata.

” Malah, GPS berusaha menggambarkan dasar “Sarawak First” tanpa asas dalam alasan sains dan perubatan dan dengan berbuat demikian, kerajaan negeri Sarawak telah menyusahkan urusan orang awam,” tegas Chong dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Jelas beliau lagi, walaupun terdapat aplikasi standard operasi prosedur (SOP) EnterSarawak ditambah kepada mereka yang kembali atau datang dari Semenanjung, namun Sarawak masih mempunyai kes jangkitan tertinggi di Malaysia setakat ini.

“Ini menunjukkan bahawa keseluruhan “EnterSarawak” dan SOP kuarantin yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri tidak efektif untuk membendung penyebaran Covid-19, tetapi telah memberi tekanan rakyat termasuk ekonomi, “soalnya.

Justeru, Chong berharap sudah tiba masanya GPS berhenti bermain politik dengan pengurusan wabak Covid-19 dan bersungguh-sungguh dengan membantu rakyat Sarawak bagi memulihkan ekonomi di negeri ini.

“Oleh demikian, saya meminta kerajaan negeri untuk membuat keputusan berdasarkan data sains dan perubatan tetapi bukan atas dorongan dan pertimbangan politik semasa-mata,” tambahnya.