DAP Kedah bantu guru agama dakwa dipukul polis

DAP Kedah bantu guru agama dakwa dipukul polis

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Seorang guru agama kelas Alquran dan Fardhu Ain (KAFA) yang mendakwa dipukul dua anggota polis menerima bantuan guaman disediakan DAP Kedah.

Kejadian itu didakwa berlaku di Balai Polis Gurun, Selasa lalu sehingga mencederakan kepala dan tangan guru agama tersebut serta mengakibatkan beliau mengalami trauma.

Guru agama tersebut, Mohd Na’im Zakaria, 29, meminta bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Darul Aman, Teoh Boon Kok bagi mengadakan sidang media berhubung kes itu.

Mohd Na’im telah membuat laporan polis di pondok polis Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Bapa kepada dua anak itu berkata beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan, malah mempunyai lesen dan cukai jalan sah.

Namun beliau mendakwa dipukul, ditengking dan diperlekeh oleh dua anggota polis terbabit serta ditahan hampir tiga jam.

Teoh yang hadir pada sidang media itu meluahkan rasa kesal atas kejadian itu dan bersetuju membantu Na’im dengan menyediakan bantuan guaman, lapor Roketkini.

“Kami dari pihak DAP akan menawarkan bantuan guaman untuknya. Malah, Adun Seri Delima (Pulau Pinang) RSN Rayer yang merupakan seorang peguam telah bersetuju menghulurkan bantuan.

“Tugas dan kewajipan mereka (polis) ialah untuk menjaga keselamatan dan membela rakyat.

“Polis tiada hak memukul seseorang tanpa menjalankan siasatan. Lagipun, beliau (Na’im) tidak melakukan sebarang jenayah semasa ditahan dalam sekatan jalan itu,” kata Teoh.

Menurutnya, kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa kes itu mungkin bermula disebabkan provokasi oleh guru agama itu baru-baru ini adalah tidak wajar ekoran siasatan terperinci masih belum dijalankan.

“KPN kata kes ini mungkin dimulakan oleh tindakan provokasi Ustaz Na’im.

“Tapi, bagaimana beliau boleh berkata demikian sebelum menjalankan siasatan dalaman? Adakah beliau cuba menyebelahi mana-mana pihak sebelum menyiasat secara terperinci?” katanya.

Kejadian berlaku pada pukul 10 malam ketika Na’im yang menunggang motosikal berkuasa tinggi ditahan dalam sekatan jalan di hadapan Balai Polis Gurun, Selasa lalu.

Setelah didakwa dipukul sehingga mengalami kecederaan kepala dan lebam di tangan, Na’im kemudiannya menjalani rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah dan membuat laporan polis sebelum meminta nasihat dan bantuan Adun DAP berhubung kes itu.

TAGS