Malaysia Dateline

‘DAP keluar PH’: Mohamad anggap pandangan peribadi Nga, PH akan bincang

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menganggap kenyataan Timbalan Setiausaha Agung DAP Nga Kor Ming berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai pandangan peribadi dan bukannya pendirian rasmi DAP.

Menteri Pertananan itu berkata, PH juga akan berbincang mengenai kenyataan Nga kononnya DAP akan keluar daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) jika Putrajaya enggan mengiktiraf UEC.

“Itu kita (PH) akan bincang. Itu pandangan peribadi beliau (Nga).

“Bukan pendirian kolektif DAP. Bagi kita pandangan peribadi sesiapa pun boleh keluarkan,” katanya ketika ditanya media pada suatu majlis anjuran AMANAH di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Nga dalam kenyataan asal dalam Oriental Daily News berkata, DAP telah mencapai satu kata sepakat tidak akan teragak-agak untuk keluar dari kerajaan jika UEC tidak diiktiraf.