DAP kesal Akta Komunikasi dan Multimedia masih dikuatkuasakan

Perbuatan tertuduh tidak wajar didakwa di bawah akta yang mahu dimansuhkan, kata DAP.

Keputusan pihak Pendakwa Raya untuk mendakwa seorang pemandu yang memuat naik komen menghina kematian dua anggota polis dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), minggu lalu dikesali DAP.

Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan berkata, beliau mengakui bahawa undang-undang bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia itu masih terpakai dan mengikat, namun pihak Kerajaan Persekutuan telah menyatakan hasrat mereka untuk meminda seksyen tersebut.

“Atas dasar ini, pendakwa raya tidak sewajarnya membawa apa-apa pendakwaan sehingga pindaan tersebut diluluskan oleh Parlimen,” kata peguam itu.

Hakim Mahkamah Sesyen di Kuantan, Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman hukuman penjara 6 bulan ke atas Mohd Hannan Ibrahim, 27 tahun, yang berasal dari Kampung Parit Tengah, Pekan, Pahang, selepas dia mengaku salah terhadap pertuduhan tersebut.

Hukuman diarahkan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 23 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa memuat naik komen berbaur penghinaan berhubung kematian dua anggota polis dengan menggunakan akaun Facebooknya dalam laman Komuniti Kuantan pada 5.30 petang 23 Oktober, lalu.

Bagi Shahrizan, disamping tindakan mendakwa, hukuman yang dikenakan oleh Puan Hakim Mahkamah Sesyen juga adalah keterlaluan dan tidak mengikut tren hukuman bagi kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen tersebut.

“Perlu diingatkan bahawa secara amnya, sekiranya undang-undang memberikan budibicara kepada Mahkamah untuk mengenakan hukuman denda, penjara atau keduanya sekali, hukuman denda seharusnya diutamakan sebelum hukuman penjara,” katanya dalm satu kenyataan.

“Saya juga berharap bahawa pihak Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan dapat membuat semakan mengapa individu tersebut tidak diwakili peguam semasa dihadapkan ke Mahkamah.

“Sekiranya individu tersebut diwakili peguam, peguamnya dapat berhujah mengapa kesalahannya tidak mewajarkan suatu hukuman yang sebegitu berat,” kata beliau.

Beliau sekali lagi menggesa pihak kerajaan untuk melaksanakan moratorium ke atas akta-akta seperti ini, seperti yang diputuskan untuk Akta Hasutan, sementara menunggu proses perundangan untuk meminda atau memansuhkan Akta-akta tersebut.