DAP kesal polis cawangan khas intip telefon TMJ

DAP kesal polis cawangan khas intip telefon TMJ

Pengakuan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa dirinya diawasi polis cawangan khas (SB) dan telefon miliknya dipantau dipandang serius DAP Johor.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, dalam satu kenyataan media berkata tindakan polis itu tidak mengikut mana-mana undang-undang atau akta yang memberikan hak kepada polis untuk melakukan intipan.

Menurut Chin Tong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dalam jawapan balas di Parlimen pada 2014 memaklumkan bahawa pintasan komunikasi oleh polis dibenarkan hanya dengan kelulusan pendakwa raya jika terdapat maklumat berkaitan sesuatu kesalahan yang dilakukan.

Sehubungan itu, beliau meminta Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri supaya memberikan penjelasan yang memuaskan berkaitan perkara tersebut.

Menurut beliau, Seksyen 116C Kanun Prosedur Jenayah, Seksyen 27A Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 11 Akta Penculikan 1961, Seksyen 43 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 6 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 memperuntukan kuasa kepada pendakwa raya untuk mengarahkan polis memintas komunikasi.

Semalam, Tengku Ismail dalam satu kenyataan mendakwa polis cawangan khas melakukan intipan melalui telefon peribadi miliknya, malah Bukit Aman turut menyimpan fail mengenai beliau dan ayahandanya Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Tengku Ismail juga menegaskan bahawa beliau bukanlah pengganas yang perlu diintip dan diawasi.

“Tunku Ismail tidak boleh diintip hanya kerana baginda ada kalanya meluahkan pandangan yang tidak dikongsi bersama oleh kerajaan persekutuan.

“Malah, kerajaan tidak harus mengintip rakyat hanya kerana aktiviti politik dan pandangan mereka,” ujar Ahli Parlimen Kluang itu.

TAGS