DAP kuasai pembangkang jika menang PRU-14, kata Najib

DAP kuasai pembangkang jika menang PRU-14, kata Najib

Tidak kira sama ada DAP mempunyai jawatan tertinggi kerajaan, parti itu masih berkuasa jika Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memenangi pilihan raya umum akan datang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Dalam dunia politik, parti yang mendapat kerusi lebih di Parlimen, maka dialah yang akan menentukan hala tuju pakatan disertainya.

Selepas dicongak parti-parti di ‘sebelah sana’, macam mana pun DAP yang akan menguasai mereka.

“Tak mungkin PKR, Amanah atau parti ‘bunga’ kerana kerusi mereka lebih sedikit berbanding DAP,” katanya pada majlis sepetang bersama perdana menteri di padang awam, Kuala Ketil, Baling, yang dipetik Malaysiakini hari ini seperti dilaporkan akhbar rasmi arus perdana milik Umno itu semalam.

Sehubungan itu, Najib berkata, rakyat perlu mengambil kira implikasi jika negara ini dikuasai oleh DAP.

“Cuba bayangkan jika bumi Malaysia ini dikuasai DAP, apa implikasinya?

“Ingat boleh mengadu atau berteduh di bawah mereka? Di mana kita hendak meminta dan pada siapa hendak merayu?” katanya.

Pada pilihan raya umum lalu, DAP memenangi kerusi kedua paling banyak di Dewan Rakyat selepas Umno.

Pada ucapannya itu, Najib juga membidas Pakatan Harapan dan Bersatu kerana “secara konsisten tidak konsisten” mengenai isu-isu dasar, dengan pemimpin mereka bertentangan antara satu sama lain

Antara lain, Najib berkata, dua dalang itu adalah pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Datuk Seri Mukhriz.

“Bapa mengkritik program haji 1MDB manakala anaknya – ‘boboi’ kita pula membantu untuk menghantar lebih 20 rakyat Kedah menunaikan haji di bawah program itu ketika beliau menteri besar (Kedah),” ujar Najib.

TAGS