Malaysia Dateline

DAP kumpul RM2.9 juta dari kempen solidariti untuk Lim Guan Eng

Kutipan dana ‘Solidariti bersama Lim Guan Eng’ yang dilancarkan minggu lalu bagi membantu pembayaran ikat jamin Setiausaha Agung DAP itu, telah mencapai RM2.9 juta daripada kempen tersebut.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata, kempen kutipan dana itu akan diteruskan sehingga tengah malam hari Jumaat, 15 Ogos 2020 untuk mereka yang masih berhasrat menderma.

Untuk rekod, DAP melancarkan kempen meraih dana selama satu minggu bagi membantu pembayaran ikat jamin ahli Parlimen Bagan itu atas pertuduhan meminta suapan berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Selain itu, para netizen membuat kempen “Senyum untuk Lim Guan Eng” ekoran pendakwaan itu.

Dilaporkan juga, lebihan daripada derma tersebut akan disalurkan untuk Pilihan Raya Umum bagi melawan kerajaan pintu belakang dan mengembalikan mandat rakyat yang mengundi.

Pada 7 Ogos lalu, pihak pendakwaan telah meminta jaminan sebanyak RM2 juta dan pihak mahkamah telah menetapkan ikat jamin dengan nilai RM1 juta.

Sementara itu, Pua yang juga Ahli Parlimen Damansara itu berkata, kempen yang dilancarkan bukan sahaja untuk melawan tuduhan direka terhadap pemimpin DAP itu, tetapi juga untuk melawan penyalahgunaan kuasa kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kami berasa marah dengan tindakan penganiayaan politik dalam kalangan mereka yang berkuasa terhadap Lim Guan Eng melalui satu kes yang tidak mempunyai sebarang merit ini.

“Beliau telah menyatakan tidak bersalah ke atas pertuduhan-pertuduhan ini memandangkan kontrak terowong bawah laut telah dianugerahkan melalui sistem tender terbuka dan telah dicadangkan oleh penjawat awam kanan daripada kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Tambahan lagi, tidak ada satu sen pun telah dibayar untuk projek ini memandangkan projek ini dirancang untuk dimulakan selepas tahun 2023, selepas semua syarat-syarat dan kelulusan kawalan selia diluluskan,” katanya lagi.

Mengikut kertas pertuduhan, Lim ketika menjadi ketua Menteri Pulau Pinang didakwa meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada jumlah keuntungan yang bakal diperoleh daripada Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, pengarah kanan eksekutif Consortium Zenith Construction Sdn Bhd yang mendapat projek itu.