Malaysia Dateline

DAP mampu jadi ‘King Maker’ di PRN Sarawak

Party Democratic Action (DAP) mampu menjadi ‘King Maker’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak yang dijangka akan dilangsungkan penghujung November depan.

Menurut Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, ini berdasarkan sekiranya DAP Sarawak mampu memenangi 15 ke 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus berupaya menjadi ‘King Maker’ bagi pembentukan Kerajaan Negeri.

Katanya, pada PRN12 Sarawak akan datang, ada kemungkinan hanya tiga blok parti utama sahaja yang menentukan kekuatan dalam membentuk kerajaan.

Tiga blok itu, jelasnya ialah Gabungan Parti Sarawak (GPS), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB.

“Ada kemungkinan tiga blok ini tidak akan dapat memperolehi kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan sekali gus jika DAP berjaya memenangi kesemua kerusi yang ditandingi, ia akan mampu mengubah senario berkenaan kelak.

“Maka, ketika itulah kita akan menentukan terma dan syarat untuk dasar yang lebih baik demi masa depan rakyat Sarawak,” ujarnya.

Chong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang DAP Stapok dan Pasar Maong di Kuching, semalam.

Tegas beliau, terdapat sesuatu yang tersirat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang baharu selesai Sabtu lalu yang mana DAP tetap menjadi pilihan yang dipercayai dan disokong oleh pengundi kawasan bandar.

“DAP telah bertanding di tujuh kerusi dan berjaya memenangi enam daripadanya. Calon kami di kawasan bandar berjaya mempertahankan kerusi mereka dengan majoriti besar manakala di tiga kerusi, seperti, Likas, Luyang dan Kapayan, calon Barisan Nasional (BN/ Perikatan Nasional (PN) telah kehilangan deposit.

“Kemenangan ini telah membuktikan sekali lagi bahawa kepercayaan dan keyakinan pengundi di kawasan bandar terhadap DAP amat tinggi,” tambahnya yang juga merupakan Ahli Parlimen Stampin.

Chong menegaskan, selepas ‘Langkah Sheraton’, adegan melompat parti dan pengkhianatan telah menjadi norma baharu dalam politik Malaysia namun DAP menonjol sebagai sebuah parti yang berintegriti dan berdisiplin.

“Tidak ada 42 Ahli Parlimen DAP yang membelot atau mengkhianati parti itu. Inilah yang dihargai oleh masyarakat untuk terus yakin bersama kami.

“Justeru, jika kita bekerja keras pada PRN12 Sarawak nanti, adalah tidak mustahil DAP mampu bertindak sebagai ‘King Maker’ serta berupaya mengakhiri pemerintahan 57 tahun di bawah Kerajaan BN dan GPS,” kata beliau lagi.
Attachments area