Malaysia Dateline

DAP mampu pertahankan kerusi Parlimen Sandakan, kata Naib Presiden UPKO

DAP diyakini mampu mempertahankan kerusi Parlimen Sandakan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 11 Mei ini.

Naib Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata keyakinan itu berdasarkan kepada sokongan padu yang diberikan oleh masyarakat pelbagai kaum di sini termasuk Cina dan masyarakat Kadazandusun, Sungai serta etnik lain.

“Selepas beberapa hari berada di Sandakan untuk membuat tinjauan dan perkongsian maklumat dengan rakan-rakan di sini, saya amat yakin sokongan masyarakat Sandakan berpihak kepada calon DAP Vivian Wong Shir Yee pada PRK Parlimen Sandakan 11 Mei ini.

“Sehubungan itu, saya menggesa, menyeru, meminta dan merayu kepada semua pengundi di Sandakan khususnya pengundi bumiputera dalam kalangan Kadazandusun, Sungai dan suku-suku etnik anak negeri lain supaya memberikan sokongan kepada Vivian Wong,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Perdana sempena PRK Sandakan di sini, malam tadi..

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah berkata Viivian Wong mampu untuk meneruskan perjuangan wakil rakyat sebelum ini iaitu mendiang bapanya Datuk Stephen Wong Tien Fatt khususnya dalam menunaikan janji mendiang.

Beliau berkata ketika menjadi Anggota Parlimen dan menganggotai jemaah kabinet negeri Sabah sebagai Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, mendiang banyak menyuarakan keperluan pembangunan dan permasalahan di kawasan Sandakan.

“Walaupun dari segi usia, Vivian Wong adalah yang paling muda antara calon yang bertanding namun bagi saya usia muda tidak semestinya kita tidak boleh bekerja, sebaliknya cabaran itu akan menjadikan kita lebih bermotivasi dan memberikan perkhidmatan terbaik,” kata Ewon.

Pada PRK Sandakan ini, Vivian Wong ditentang calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas iaitu Hamzah Abdullah, Chia Siew Yung dan Sulaiman Abdul Samat.