DAP akan menolak Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) pada hari Isnin ini agar rakyat tidak dipertanggungjawabkan dengan tidak adil dan dihukum dengan keras disebabkan kegagalan kerajaan.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, beliau tidak pernah berbincang Akta 342 ini walaupun sebagai ahli Jawatankuasa Khas Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri.
“Kami tidak pernah membincangkan Akta 342 yang bertujuan meningkatkan denda kompaun untuk individu kepada RM100,000 dan syarikat kepada RM1 juta di samping hukuman penjara sehingga 7 tahun.
“Apa gunanya Jawatankuasa Khas ini jika perkara yang sepatutnya dibincangkan tersebut langsung tidak pernah dibentangkan dalam mesyuarat?”soal beliau.
Menurutnya, tiada sebarang kertas pembentangan tentang perkara ini di mesyuarat-mesyuarat yang lepas.
Katanya, Ismail sepatutnya menjelaskan kenapa perkara ini tidak dibincangkan dalam Jawatankuasa Khas terlebih dahulu sebelum dibentangkan di Parlimen.
Jelasnya, penangguhan untuk membahaskan Rang Undang-Undang tersebut ke hari Isnin minggu depan merupakan taktik licik untuk mengelakkan sebarang kesan politik negatif ke atas pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan esok.
“Jika Rang Undang-Undang tersebut diluluskan oleh kerajaan semalam; maka GPS akan berdepan reaksi bantahan daripada pengundi.
“Selepas hari mengundi besok, kerajaan boleh menyambung semula untuk meluluskan Rang Undang-Undang yang tidak memihak kepada kepentingan rakyat,” kata beliau.
Justeru, katanya meningkatkan denda kompaun secara drastik sebegini ialah satu tindakan menghukum rakyat dengan amat keras sekali.
“Kerajaan tidak sepatutnya mengambil pendekatan menghukum untuk menangani pandemik Covid-19, sebaliknya harus melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang bersifat rehabilitasi dan mitigasi bagi membendung Covid-19.
“Pendekatan menghukum rakyat ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan sedang lari dari tanggungjawab atas kegagalan menguruskan Covid-19 dengan kini meletakkan kesalahan di atas bahu rakyat.
“Ini bukan sahaja salah, malah menonjolkan ketidakcekapan kerajaan,” katanya lagi.