Malaysia Dateline

DAP miliki integriti walaupun hilang kerajaan

Parti Tindakan Demokratik (DAP) memiliki integriti dan prinsip yang tegas, walapun mungkin telah hilang kerajaan yang dipilih oleh rakyat 20 bulan lalu.

Menurut Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, DAP tidak dialu-alukan oleh beberapa parti politik kerana prinsip dan pendirian yang tegas dalam Kerajaan Pakatan Harapan(PH).

Katanya, dalam tempoh 20 bulan lalu bersama membentuk kerajaan, DAP amat patuh kepada prinsip yang ketat dan tadbir urus kerajaan yang baik serta bersih.

“Ini terbukti dalam pentadbiran Kementerian Kewangan diketuai Lim Guan Eng, yang telah bertindak sebagai ‘gatekeeper’ dan menjaga dengan baik wang rakyat.

“Ia juga sebab mengapa kita melihat banyak projek mega dikurangkan dari anggaran awal kos kepada jumlah pengurangan yang banyak.

“Sebagai contoh kos projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dikurangkan daripada RM65.5 bilion kepada RM44 bilion, projek Lebuhraya Pan Borneo dikurangkan daripada RM21.9 bilion kepada RM18.8 bilion,” ujarnya dalam satu kenyataan di Kuching malam tadi.

Jelasnya, beliau melihat pengurangan 18 peratus kadar tol Lebuhraya PLUS tanpa sebarang kenaikan pada masa hadapan berbanding kontrak konsesi asal tol PLUS yang mempunyai hak untuk menaikkan lima peratus kadar tol setiap tiga tahun.

Chong menegaskan, terdapat beberapa bekas pemimpin dalam parti gabungan PH yang mahu konsesi dipindahkan kepada kroni mereka, namun ia ditentang kuat oleh Menteri DAP.

“Atas desakan menteri-menteri DAP, pengguna jalan mendapat kadar tol rendah dan sebarang keuntungan daripada konsesi sudah pasti akan memberi manfaat kepada penyumbang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pemegang saham kerajaan melalui Khazanah.

“Maka, pendirian tidak berkompromi ini adalah sebab utama mengapa segelintir parti politik lebih rela memilih bekerja dengan PAS daripada bekerja dengan DAP.

“Sebabnya, mereka tahu selagi DAP ada dalam kerajaan, ia akan sentiasa menghalang amalan rasuah.

Justeru, tambahnya kesemua 42 ahli parlimen DAP tetap berdiri teguh bersama mempertahankan prinsip asas PH bagi memastikan kerajaan yang dipilih oleh rakyat akan terus bekerjas ke arah memenuhi janji-janji manifesto sehingga akhir penggal.

“Kami mungkin telah hilang kerajaan, tetapi kita tidak hilang integriti dan prinsip.

“Kami akan teruskan perjuangan politik ke arah kerajaan yang lebih baik dan bersih bagi Sarawak dan Malaysia.

“Kepada ahli dan penyokong DAP, mungkin kita kecewa dalam situasi semasa tetapi kita tidak boleh hilang harapan untuk Sarawak dan Malaysia yang lebih baik,” ujar beliau lagi.
Attachments area