Malaysia Dateline

DAP minta bantuan lebih besar untuk rakyat jika PKP mahu dikenakan semula

Kerajaan diminta supaya memastikan bantuan lebih besar diberikan kepada rakyat yang terlibat jika cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula diterima.

Syahredzan Johan

Peguam Syahrezan Johan (gambar) dalam kenyataannya berkata, sekiranya cadangan KKM untuk PKP bersasar ini dilaksanakan, kerajaan harus mempertimbangkan juga impak kepada ekonomi dan rakyat di tempat-tempat yang mana PKP bersasar ini dilaksana, sekiranya ia melibatkan penutupan sektor ekonomi.

Harus diingatkan bahawa PKP dan PKPB yang dilaksanakan sebelum ini telah mengakibatkan kehilangan pekerjaan, pengurangan pendapatan dan impak negatif kepada orang ramai, katanya.

Bantuan yang diberikan sebelum ini juga tidak cukup besar dan tidak cukup meluas, sehinggakan rakyat terpaksa bergantung harap pada simpanan KWSP mereka.

“Sekiranya terdapat penutupan sektor ekonomi dengan PKP bersasar ini, Kerajaan digesa untuk memastikan ia diiringi dengan bantuan kewangan yang lebih besar dan lebih meluas kepada setiap lapisan masyarakat.

“Jika tidak, ia akan membawa kesan yang buruk ke atas situasi kewangan rakyat dan rakyat akan terus menderita,” kata Setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Selain itu, katanya, kerajaan telah digesa sebelum ini untuk memaklumkan kepada rakyat tentang pelan jangka pendek dan pelan jangka panjang untuk negara menghadapi krisis Covid-19 yang semakin meruncing.

“Malangnya, setakat ini perancangan Kerajaan masih tidak kelihatan dan parti-parti dalam kerajaan seperti lebih berminat untuk mengadakan mesyuarat politik daripada menenangkan kegusaran rakyat dan menjadikan langkah membendung Covid-19 sebagai prioriti,” katanya.

Dilaporkan semalam bahawa Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia mencadangkan supaya adanya ‘pemutus litar’ (circuit breaker) seperti PKP yang bersasar di beberapa tempat bagi membendung wabak Covid-19.

Bagi Syahrezan, apa yang diusulkan KKM ini tidak memeranjatkan.

Malaysia terus menyaksikan lonjakan kes baharu Covid-19 apabila sejumlah 3,027 jangkitan baharu dikesan setakat jam 12 tengah hari semalam.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan angka kes baharu harian tertinggi pernah dilaporkan itu menjadikan jumlah kumulatif mencecah 128,465 jangkitan dengan 25,221 kes aktif.

Di samping itu, Tan Sri Noor Hisham Abdullah juga dilaporkan berkata bahawa sistem kesihatan negara kini sedang berada pada tahap genting (breaking point).

Oleh itu, sesuatu yang drastik mesti dilakukan untuk memutuskan rantai jangkitan Covid-19 dalam masyarakat.