Malaysia Dateline

DAP minta tambah bilangan jemaah masjid di Kedah

Kerajaan negeri Kedah perlu membuat ketetapan baharu untuk membenarkan penambahan bilangan jemaah di masjid dan surau di seluruh negeri Kedah selari dengan peningkatan jumlah individu yang telah lengkap divaksinasi.

Setiausaha Publisiti DAP Negeri Kedah Mohd Shubihi Muhamad Zain berkata, tindakan mengekalkan had hanya 100 jemaah boleh menunaikan solat di masjid dan surau sudah tidak relevan.

Sedangkan katanya, statistik terkini vaksinasi menunjukkan Kedah sudah semakin menghampiri kadar imuniti kelompok yang disasarkan.

Untuk rekod, sehingga ke hari ini, jumlah individu yang lengkap divaksinasi di Kedah adalah seramai 986,932 atau 45.2 peratus, manakala jumlah individu yang menerima sekurang-kurangnya satu dos adalah seramai 1,299,815 atau 59.5 peratus.

“Exco yang berkenaan diminta untuk lebih prihatin dengan masalah yang dihadapi umat Islam dan perlu meneliti semula SOP dan dasar yang dibuat agar ianya lebih memudahkan orang ramai.

“Bukannya merumitkan lagi masalah sedia ada asalkan keselamatan terjaga agar kesihatan awam tidak terjejas terutamanya dalam kalangan jemaah yang hadir ke masjid atau surau,” kata beliau dalam kenyataan.

Justeru, beliau meminta Kedah mencontohi negeri-negeri lain yang telah pun membuat ketetapan baharu dengan menaikkan bilangan jemaah di masjid dan surau berdasarkan keluasan ruang solat yang ada.

Terbaru, negeri Selangor mengumumkan ketetapan baharu SOP untuk masjid-masjid dan surau-suraunya.

Selain daripada peningkatan bilangan jemaah, aktiviti pengimarahan masjid dan surau juga turut dibenarkan.

“Bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk membuka kembali pintu-pintu masjid dan surau bagi menerima bilangan jemaah yang lebih ramai kepada individu yang telah lengkap divaksin memandangkan pintu untuk sektor-sektor sosial dan ekonomi lain juga sudah dibuka seluasnya,” ujarnya lagi.

Pada 9 Julai lalu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah mengumumkan, seramai 100 jemaah terpilih iaitu individu yang menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin COVID-19 sahaja dibenar menunaikan solat di masjid dalam zon hijau, kuning dan jingga di negeri ini.