Malaysia Dateline

DAP mohon Jimmy Wong tarik balik hasrat keluar parti

DAP menggesa bekas Pengerusi DAP, Sabah Jimmy Wong agar menarik balik hasratnya untuk keluar parti dan terus kekal berada dalam parti.

“Saya berasa sedih dengan tindakan peletakan jawatan dan keluar parti oleh saudara Jimmy Wong, bekas Pengerusi DAP Sabah.

“Saya meminta saudara Jimmy Wong agar menarik balik hasratnya untuk keluar parti,” kata Pengerusi DAP Sabah Datuk Poon Mung Fung.

 

Dalam kenyataan beliau mengagumi Jimmy Wong sememangnya telah memberikan sumbangan yang besar kepada DAP Sabah pada masa lalu.

“Walaupun beliau telah beransur-ansur berundur daripada aktiviti politik yang aktif, namun semangat beliau masih boleh memberi inspirasi kepada ahli-ahli parti kita,” katanya.

Poon Mung Fung berkata, semasa dilantik sebagai pemangku pengerusi DAP Sabah pada 2019, perkara pertama yang beliau lakukan ialah mencadangkan kepada jawatankuasa negeri ketika itu untuk melantik saudara Jimmy Wong sebagai penasihat parti DAP Sabah.

“Pada masa yang sama, saya berharap saudara Jimmy Wong memahami bahawa dalam setiap organisasi, proses pilihan raya dalaman tidak dapat dielakkan,” ujarnya.

Justeru katanya, dengan membenarkan ahli-ahli memutuskan hala tuju parti adalah proses yang sihat tetapi pemimpin-pemimpin harus menghormati kehendak dan pilihan ahli-ahli dalam parti.

Terdahulu, Jimmy Wong bertindak keluar parti kerana kecewa ramai veteran setia disingkirkan daripada jawatankuasa parti itu pada pemilihan parti Ahad lalu.

Wong semalam berkata ketiadaan ADUN Kepayan dan Ketua Wanita DAP negeri Jannie Lasimbang, bekas senator Adrian Lasimbang, anggota parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin dan ADUN Elopura Calvin Chong dalam jawatankuasa itu tidak masuk akal dan akan menjadi kerugian besar kepada DAP Sabah.