DAP nyatakan sokongan terbuka Amanah tanding PRK Sungai Besar

DAP nyatakan sokongan terbuka Amanah tanding PRK Sungai Besar

Di sebalik kebuntuan ‘rundingan’ siapa yang akan bertanding mewakili Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, DAP secara terbuka telah menyatakan sokongan kepada Parti Amanah Negara (Amanah) untuk bertanding.

Sokongan tanpa belah bahagi itu dinyatakan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua pada Majlis Ceramah Perdana dan Pelancaran Jentera Amanah PRK Sungai Besar di Sekinchan malam tadi.

“Saya hari ini 10 jam turun bertemu dengan jentera DAP. Dap menyokong calon Amanah bertanding di Sungai Besar,” katanya disambut sorakan hadirin yang memenuhi Dewan Sri Sekinchan malam tadi.

Pada majlis sama malam tadi turut berlangsung majlis pelancaran jentera Amanah bagi PRK Sungai Besar yang telah disempurnakan oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Presiden Salahuddin Ayub, Pengerusi Amanah Selangor Ir Izham Hashim serta bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan Datuk Khairuddin Abu Hassan.

Terdahulu pada Majlis Makan Malam Amanah Selangor malam semalam, Tony yang juga setiausaha publisiti DAP berkata beliau akan turun berkempen tiap-tiap malam jika calon Amanah bertanding.

“Saya akan turun berkempen tiap-tiap malam jika amanah bertanding di Sungai Besar,” katanya.

Tun Mahathir  akan turun kempen Amanah

Sementara itu, Khairudin antara penggerak utama Deklarasi Rakyat ketika berucap pada majlis malam tadi turut menyampaikan komitmen bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut akan turun berkempen untuk Amanah pada PRK kali ini.

“Tun Dr Mahathir telah berikrar dan bersetuju turun berkempen untuk parti Amanah yang mewakili Pakatan Harapan pada pilihan raya kali ini,” katanya.

Isu siapa yang akan bertanding mewakili Pakatan Harapan pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar belum dimuktamadkan dan masih di peringkat perbincangan ketiga-tiga parti Pakatan Harapan.

Pertemuan Majlis Presiden Pakatan Harapan bagi tujuan itu yang sepatutnya dibuat Jumaat lalu telah ditangguhkan ke hari ini.

Bagaimanapun desas-desus menyebut bahawa pertemuan hari ini juga sekali lagi bakal ditangguhkan sekaligus meletakkan isu siapa yang akan bertanding masih menjadi tanda tanya.

TAGS