Malaysia Dateline

DAP parti Cina: Pemimpin DAP jauhkan diri dari kenyataan Ronnie

Kenyataan Ronnie Liu bahawa DAP tidak boleh digambarkan sebagai parti bukan Cina ditolak oleh hampir semua pemimpin DAP dengan menafikan mereka berfikiran sama dengan Adun Sungai Pelek, Selangor itu.

Veteran DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Publisiti Tony Pua menyertai Hannah Yeoh menolak pandangan Ronnie itu dengan menegaskanDAP bukan parti Cina, Melayu atau India tetapi adalah parti untuk Malaysia.

Ronnie di dalam tulisannya di Malaysiakini mengatakan:-

“DAP adalah untuk semua rakyat Malaysia. Kita perlu bekerjasama dengan parti-parti Melayu yang lain, tetapi kita tidak boleh menjatuhkan maruah atau menggambarkan diri kita sebagai parti bukan Cina”

Ekoran itu, Hannah menyerang Ronnie dengan berkata “Ronnie Liu tidak mewakili saya. DAP yang Ronnie mahukan bukan DAP yang saya sertai.”

Beliau juga berkata, “Saya sertai DAP kerana parti ini mempertahankan semua rakyat Malaysia.

“Saya tidak setuju dengan ucapan beliau. Apa budaya parti? Apa maksud mencairkan kecinaannya? Bukankah ini pemikiran sempit dan toksik?”.

Ronnie cuba mempertahankan diri apabila menolak serangan Hannah itu dengan berkata, Ahli Parlimen Segambut itu tidak matang dan tidak memahami tulisan Mandarin yang beliau buat.

Namun hari ini, Lim Kit Siang dan Tony Pua membuat kenyataan berasingan yang menolak pandangan Ronnie itu.

Kit Siang dalam ucapannya malam tadi berkata, DAP tidak menganjurkan dasar untuk Cina, Malayu, India, Kadazan atau Iban, tetapi sebaliknya, untuk menerima bahawa rakyat Malaysia adalah terdiri dari pelbagai kaum dan yang paling utama mereka semua adalah rakyat Malaysia.

Tony Pua pula berkata, Ronnie Liu adalah chauvinis Cina yang tidak diperlukan oleh DAP.

Bagi beliau pandangan Ronnie agar DAP tidak mencairkan identiti Cinanya tidak boleh diterima kerana inilah usaha yang dibuat oleh musuh DAP.

“Liu mahu kita berundur ke belakang dan menolak segala kemajuan yang telah kita usahakan sejak berdekad lalu untuk mempertahankan kecinaanya,” kata ahli parlimen Petaling Jaya Utara itu.

Sejak dari awal penubuhannya pimpinan DAP berusaha menolak bahawa DAP adalah parti Cina yang anti Melayu dan Islam.

Pemimpinnya pergi ke Mesir dan negara Timur Tengah yang lain untuk memahami pandangan Islam di samping membawa masuk ramai pemimpin Melayu ke dalam parti itu.

Untuk media pula, DAP menubuhkan Roketkini bagi menambahkan penampilannya di kalangan orang Melayu.

Bermula pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1969 iaitu pilihan raya pertama disertai DAP, menyaksikan parti itu meletakkan 10 calon Melayu iaitu sembilan untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu Parlimen.

Dua daripada mereka berjaya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Terkini untuk PRU 2018 lalu, DAP meletakkan sembilan calon Melayu untuk kerusi DUN dan satu calon Parlimen.

Mereka ialah Zairil Khir Johari (Tanjung Bungah), Syerleena Abdul Rashid (Seri Delima), Dr Abdul Aziz Bari (Tebing Tinggi), Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama), Edry Faizal (Dusun Tua), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) tetapi kini telah meninggalkan parti, Sheikh Omar Ali (Paloh), Young Syefura Othman atau Rara (Ketari), dan Abu Bakar Lebai Sudin (Pulau Manis).

Untuk Parlimen, Tengku Zulpuri bertanding di Raub dan menang.