Malaysia Dateline

DAP Perak ibarat kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan

Mempunyai jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kedua tertinggi di Perak, DAP sedia untuk bekerjasama dengan Umno.

Reaksi Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming itu ibarat kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan selepas Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan kemungkinan kerjasama tersebut.

Nga Kor Ming yang juga ADUN Aulong dan Ahli Parlimen Teluk Intan menganggap pendirian itu demi kepentingan rakyat dan bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil.

“Demi kepentingan rakyat, DAP Perak sedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang boleh membantu membentuk kerajaan yang berbilang kaum, kuat, dan stabil.

“Saya terbuka dengan sebarang perbincangan yang membina. Kami bersedia,” katanya.

Kesediaan DAP Perak untuk bekerjasama dengan Umno sekali gus mengukuhkan lagi cakap-cakap bahawa kerajaan bersama Umno dan Pakatan Harapan (PH) akan dibentuk dalam masa terdekat.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata sedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP untuk membentuk kerajaan baharu di Perak jika jajaran gabungan parti terdahulu tidak dapat diteruskan.

Menurutnya, Umno buat masa ini seboleh mungkin mahu kerajaan yang dibentuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas di bawah pimpinan menteri besar terdahulu dikekalkan.

“Kita akan lihat semua kemungkinan, saya sebutkan seboleh mungkin kita kekalkan jajaran terdahulu, tetapi jika itu tidak dapat dilakukan, tentu ada penyesuaian yang harus dilakukan untuk penjajaran yang baru,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Untuk rekod, DUN Perak mempunyai 25 ADUN Barisan Nasional (BN) yang kesemuanya daripada Umno, 16 daripada DAP, Bersatu (5), AMANAH (5), PKR (3), Pas (3), Gerakan dan Bebas masing-masing satu.