Malaysia Dateline

DAP Perak minta lupakan politik, tumpu bantu ekonomi hadapi Covid-19

Walaupun baru sahaja kehilangan kerajaan negeri, DAP Perak mengajak kerajaan negeri melupakan soal politik buat sementara ini dan memberikan tumpuan penuh untuk menyelesaikan masalah negeri dan rakyat dalam melawan Covid-19.

Sehubungan itu, kerajaan negeri Perak perlu segera menjalankan kajian menyeluruh berkaitan kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Covid-19 terhadap ekonomi negeri sebagai langkah menangani masalah akibat krisis wabak itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Pinji, Perak Howard Lee Chuan How mencadangkan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dan Institut Darul Ridzuan (IDR) berganding bahu menerajui tugasan tersebut bersama dengan pakar-pakar ulung dalam merangka model ekonomi.

Beliau berkata, kajian tersebut dicadangkan diberi tumpuan kepada 15 sektor utama yang paling menyumbang kepada ekonomi negeri Perak.

“Kajian ini perlu memberi gambaran dan perangkaan impak sekiranya PKP akan berakhir seperti pengumum setakat ini, yakni 28 hari, dan juga bagi senario 36 hari ataupun 56 hari, mengikut sektor ekonomi yang terbesar di negeri kita.

“Kita perlu tahu berapa ramai rakyat Perak yang bakal kehilangan kerja, berapa pekerjaan yang kemungkinan terpaksa gulung tikar, dan kita perlukan juga satu unjuran yang tulus dan jujur supaya kita dapat persiapkan satu pelan dan penyelesaian.

“Dengan mengetepikan permainan politik demi menumpukan usaha menyelamatkan nyawa, harta benda, pekerjaan dan masa depan rakyat Malaysia khususnya warga Perak, saya mencadangkan tiga perkara utama untuk membantu kerajaan menangani masalah yang amat besar ini,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Dapsy Kebangsaan mencadangkan demikian menerusi satu kenyataan hari ini.

Sebagai bekas Exco Kerajaan Negeri yang berpengalaman dalam hal ehwal pentadbiran, Lee turut mencadangkan agar segera diadakan libat urus dan temu tembung dengan pemegang taruh di peringkat negeri yang berada di bawah portfolio setiap Exco.

Beliau berkata, perkara itu penting bagi membincangkan keperluan, jenis, bentuk dan kaedah penyampaian bantuan rangsangan bagi sektor ekonomi masing-masing yang juga dipanggil sebagai pelan pemuliharaan pasca Covid-19.

Cadangan ketiga katanya, adalah berkaitan bajet tambahan bagi rangsangan peringkat negeri dan perancangan perbelanjaan peruntukan khas Covid-19 Kerajaan Persekutuan.

“Kita semua telah dimaklumkan tentang peruntukan oleh Kerajaan Persekutuan iaitu sebanyak RM130 juta.

“Apa yang tidak diberitahu kepada kita semua adalah bagaimana taburan dan agihan peruntukan itu bakal dilaksanakan. Maka, perbincangan dengan agensi-agensi kerajaan negeri perlulah dilaksanakan dengan sebaik mungkin supaya yang penting sahaja yang menerima manfaatnya.

“Saya menyeru supaya satu pakej rangsangan tambahan dibentangkan oleh Kerajaan Negeri, mengikut hasil perbincangan dengan semua pemegang taruh mengikut portfolio,” ujarnya lagi.

Lee yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Perak turut menyatakan kesediaanya untuk membantu kerajaan mendepani cabaran pasca malapetaka ini.

“Semuanya ini atas dasar kemanusiaan, dan bukannya keghairahan politik. Bagi kami, kuasa tidak ada maknanya jika rakyat tidak dijaga, dilindungi dan dihormati,” katanya.