DAP Perak sifatkan Ahmad Husni berani, Pemuda Amanah tawar sertai parti

DAP Perak sifatkan Ahmad Husni berani, Pemuda Amanah tawar sertai parti

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming hari ini memuji tindakan menteri kewangan II Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang meletak semua jawatan dalam BN dan menyifatkannya sebagai satu tindakan berani bagi membela intergriti.

Pengerusinya Nga Kor Ming berkata, perletakan jawatan Ahmad Husni sebagai Menteri Kewangan II, Bendahari Umno, Bendahari BN, Timbalan Pengerusi BN Perak serta Ketua Bahagian Umno Tambun menunjukkan beliau seorang pemimpin berprinsip.

“Perletakan jawatan Dato’ Seri Ahmad Husni menunjukkan bahawa kedudukan kewangan negara kini semakin kritikal dan tidak boleh dipandang remeh oleh rakyat jelata.

“Hutang negara termasuk hutang yang dijamin oleh kerajaan kini mencecah paras RM810 bilion, ini menjadikan setiap rakyat menanggung hutang RM27,000 setiap orang dan keadaan ini bertambah teruk dengan skandal raksasa kewangan 1MDB yang berhutang sebanyak RM55 bilion,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Taiping.

Menurut Nga, hutang negara yang kini berjumlah RM810 bilion telah melepasi paras kritikal 55% dari KDNK dan mencapai 57.4% dari KDNK yang sekaligus menggugat kestabilan sistem kewangan negara.

Beliau menambah, negara jiran Indonesia dan Thailand mempunyai hutang negara  27.1% dan 35.1% KDNK yang jauh lebih selamat dari Malaysia.

Malah tambah Nga, Malaysia kini mencatat hutang domestik paling tinggi di seluruh benua Asia pada kadar 89.1% dari jumlah KDNK.

“DAP mengucapkan selamat maju jaya kepada Dato’ Seri Ahmad Husni yang kini bebas dari belenggu krisis skandal kewangan negara sebagai individu tetapi Malaysia masih lagi berada dalam keadaan yang bahaya tanpa reformasi institusi secara menyeluruh.

“DAP berharap ada lebih ramai pemimpin yang berintegriti dalam kerajaan akan mengikut langkah Dato’ Seri Ahmad Husni kerana kelakuan menyokong pemimpin yang rasuah bukan sahaja salah tetapi akhirnya akan memusnahkan bangsa dan negara kita,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pemuda Amanah Perak mempelawa Ahmad Husni untuk menyertai parti itu.

Setiausahanya, Safarizal Saleh berkata, banyak isu berlegar di sebalik peletakan jawatan Ahmad Husni dan menyifatkannya sebagai ‘amat mengejutkan’.

“Pemuda Amanah Perak juga memuji tindakan Dato’ Seri Husni yang melepaskan jawatannya kerana kami yakin pastinya ada isu-isu yang meruncing di dalam kerajaan BN sehinggakan Dato’ Seri Husni bertindak melepaskan semua jawatan yang disandangnya.

“Sudah tentu isu seperti 1MDB, isu derma yang masuk ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib dan yang terbaru isu pemecatan Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin dan juga Dato’ Seri Paduka Mukhriz Mahathir dari Umno,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)