Malaysia Dateline

WAWANCARA: DAP perlu anjakan paradigma tarik hati pengundi Melayu

Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dipimpin Ketua Menteri dari DAP telah menyalurkan pelbagai peruntukan bernilai jutaan ringgit bagi memperkukuhkan serta memantapkan lagi syiar Islam di negeri tersebut.

Institusi pendidikan Islam, masjid, surau serta para imam dan hafiz telah menerima pelbagai manfaat hasil keprihatinan dan kesungguhan Pakatan Harapan mentadbir negeri berkenaan sejak 2008.

Bercakap kepada Malaysia Dateline, Ahli Parlimen Raub, TENGKU ZULPURI SHAH RAJA PUJI bagaimanapun kesal kerana masih ramai orang Melayu yang percaya dengan dakwaan serta fitnah pihak lawan terhadap DAP.

Justeru, beliau yang juga Naib Pengerusi DAP berpendapat DAP memerlukan anjakan paradigma bagi memikat hati pengundi Melayu sekaligus menghakis mitos anti-Islam dan anti-Melayu yang sering dikatikan dengan parti itu.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli turut menjawab beberapa soalan daripada Malaysia Dateline dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

MD: Apakah kelebihan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli ketika di bawah pentadbiran Tengku dahulu berbanding dengan yang ada sekarang?

Salah satunya adalah menambah baik sistem penyampaian kementerian dan kakitangan pegawai. Selain itu, kami juga berjaya mengurangkan _red tape_ (prosedur birokrasi yang rumit) dalam sistem pentadbiran.

Malah, kami juga mengamalkan dasar yang lebih telus dan terbuka tanpa menjaga kepentingan kroni ataupun rasuah. Hasilnya, kemudahan kementerian dikawal dengan baik dan digunakan secara optimum dengan kos yang minima, sekaligus dapat mengelakkan ketirisan. Kami juga akan duduk sama-sama berbincang untuk mencari jalan penyelesaian dan mengelakkan budaya tunjuk jari.

Setiap prosuder operasi standard (SOP) yang dirangka juga mesra rakyat dan tidak memeningkan. Amalan ini membolehkan kami lebih kerap turun padang dan menyasarkan akar masalah sepenuhnya.

Di Dewan Rakyat, kami juga menyediakan jawapan yang tepat dan ringkas supaya ia senang difahami, tidak meleret-leret seperti pentadbiran terdahulu dan kini.

Apa projek atau usaha yang Tengku boleh banggakan semasa menjadi Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli dahulu?

Antaranya adalah projek naik taraf air di Raub bernilai RM18 juta selain meluluskan pinjaman pusat kepada negeri Pahang yang pada amnya berjumlah RM300 juta. Kementerian juga sebelum ini melaksanakan projek Non Revenue Water (NRW) di seluruh negara bagi mengatasi masalah kebocoran paip.

Kementerian juga turut melaksanakan program keseimbangan air mentah dan pembangunan berkaitan supaya gangguan belakal air mentah dan pencemaran air mentah dapat diminimakan dan masalah dapat dikenalpasti.

Di peringkat bawah, kami turut melaksanakan pelbagai program bagi mendidik dan memberikan kesedaran sivik kepada masyarakat untuk menghargai dan melindungi bekalan air mentah mereka.

Di peringkat jabatan, kami melaksanakan kerjasama dan pemantauan secara sukarela melibatkan Jabatan Perhutanan Malaysia (JPSM) dengan negeri-negeri. Selain itu, kami juga memperkukuhkan Jabatan Perhilitan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat. Turut dilaksanakan adalah program tebatan banjir di kawasan yang berisiko berlaku bah.

Selepas tidak lagi jadi timbalan menteri, apakah cara Tengku membantu rakyat di kawasan dan di peringkat Parlimen?

Di Dewan Rakyat, saya bertindak secara proaktif dengan melontarkan kritikan konstruktif dan sentiasa memberikan penyelesaian alternatif. Saya juga tidak teragak-agak untuk menyampaikan kritikan tajam tanpa gentar.

Selain itu, di kawasan saya, pelbagai program mesra rakyat telah dilaksanakan dengan mobilasi badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan.

Saya dan pasukan juga turun padang dan memberikan sumbangan serta bantuan untuk golongan susah, golongan yang menghidapi penyakit kronik, OKU, warga emas, anak yatim dan mereka yang ditimpa bencana alam. Saya turut mengambil kesempatan untuk menyantuni dan mendengar masalah mereka. Semua bantuan disampaikan tanpa melihat kepada fahaman politik, agama dan bangsa seseorang.

Saya turut memainkan peranan saya sebagai wakil rakyat untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai hal-hal sosial, budaya, politik dan ekonomi.

Ada pihak yang masih menuduh kononnya DAP ini anti-Melayu/Islam. Apa komen Tengku?

Baru-baru ini dilaporkan sebanyak RM1.251 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi program pengimarahan masjid-masjid dan sumbangan Ehya’ Ramadan pada 2021.

Seperti yang sedia maklum, Kerajaan Negeri Pulau Pinang diketuai oleh Ketua Menteri dari parti DAP. Ini membuktikan bahawa DAP tidak meminggirkan kepentingan orang Melayu dan Islam seperti yang digembar-gemburkan pihak lawan.

Bagaimanapun, fitnah yang diulang-ulang, iaitu kononnya DAP anti-Islam dan anti-Melayu masih tetap dilemparkan sehingga ke hari ini.

Justeru, secara peribadi saya berpendapat bahawa DAP memerlukan _mindset_ dan anjakan paradigma – ini memerlukan masa dan kesedaran.

DAP perlu merangka strategi bagi menyakinkan orang Melayu bahawa ia bukan parti yang dimonopoli oleh kaum-kaum tertentu.

DAP perlu lebih berani melahirkan lebih ramai pemimpin berlatarkan pelbagai kaum terutama Melayu. Dalam masa yang sama, DAP perlu memberikan penerangan kepada akar umbi sedia ada dan veteran parti mengenai strategi berkenaan.

Kini telah terbukti bahawa masyarakat Melayu semakin menerima DAP. Bagaimanapun, akar umbi perlu terus diberi pemahaman yang jelas tentang kedudukan dan pendirian parti. Dan bagaimana pula dengan sahabat DAP, adakah mereka boleh menerima jika DAP menjadi parti berbilang kaum terbesar di Malaysia?