DAP perlu hapus tanggapan buruk dikalangan Melayu, kata Ahli Akademik

DAP perlu hapus tanggapan buruk dikalangan Melayu, kata Ahli Akademik

DAP perlu melabur wang, waktu dan tenaga jika mereka serius mahu menghapus tanggapan buruk masyarakat Melayu-Islam terhadap parti itu. 

Pandangan ini dilontarkan oleh Ahli Akademik, Dr. Maszlee Malik, semalam, sebagaimana dipetik daripada portal rasmi parti itu.

Katanya, ia berikutan kebanyakan orang Melayu yang menyertai DAP dilihat bersikap liberal, sering membawa isu kontroversi, malah ada kalanya menyingung perasaan orang Melayu, hingga dilihat seakan-akan ‘token’ untuk meraih undi Melayu.

Bagaimanapun, beliau mengakui faktor mereka kelihatan sedemikian berpunca dari paparan media arus utama berdasarkan kenyataan pemimpin UMNO atau PAS, perlu diselidiki dan dikaji.

“Sebagai ahli akademik, saya tidak boleh membuat kesimpulan sembrono dengan menunding jari kepada mana-mana pihak. Ia perlu didasari kajian komprehensif.

“Apakah mungkin sikap (masyarakat Melayu-Islam) sedemikian kerana kurangnya interaksi antara mereka dengan DAP? Apakah tidak sampai maklumat mencukupi dalam bahasa Melayu mengenai DAP?

“Mungkin satu kluster yang menghimpunkan ahli akademik berkecuali dalam kalangan Melayu-Islam boleh diinisiatif oleh DAP untuk tujuan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasil kajian Institut Darul Ehsan (IDE) baru-baru ini yang menyatakan masyarakat Melayu luar bandar terpengaruh dengan propaganda UMNO BN terhadap DAP.

Sebelum ini, pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin menyifatkan manipulasi sentimen agama yang didalangi propaganda UMNO-BN antara punca DAP dipandang serong dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam.

Dr Maszlee berkata, hasil kajian IDE penting dalam melihat kepada sejauhmana isu perkauman mendominasi sikap pengundi Melayu di Malaysia tetapi menyifatkan kajian itu lebih menceritakan tentang apa dan tidak menerangkan mengapa serta bagaimana.

“Mencari sebab dan punca persepsi (tanggapan) dan sikap sedemikian suatu yang lebih penting,” katanya.

TAGS