Malaysia Dateline

DAP perlu terus giat ubah persepsi, tarik pengundi Melayu

Kenyataan agar DAP mengambil peranan secara terus dalam menarik pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan tidak lagi menggunakan ‘khidmat luaran’ (out sourcing) pihak lain, disifatkan sebagai tepat pada masanya.

Naib Pengerusi DAP, Tengku Zulpuri Shah Tengku Puji berpendapat, parti itu perlu menggembleng usaha agar masyarakat Melayu dapat terus menerima DAP sebagai sebuah parti pelbagai kaum.

“DAP perlu terus proaktif dan berani menukar persepsi daripada sebuah parti yang dilabel kononnya ‘chauvinis’, kepada sebuah parti berbilang kaum.

“DAP mesti terus berusaha menukar strategi, pemikiran dan penerangan kepada akar umbi bahawa parti ini adalah parti untuk semua rakyat Malaysia.

“Jumlah ahli dan pemimpim muda daripada kaum Melayu harus dipertambah,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong baru-baru ini bahawa parti itu perlu mengambil peranan secara terus dalam menarik pengundi Melayu pada PRU-15 dan tidak lagi menggunakan ‘out sourcing’ pihak lain.

Tengku Zulpuri yang juga Ahli Parlimen Raub berkata, dalam masa sama, semua pimpinan DAP perlu terus menyelami budaya Melayu dengan lebih mendalam supaya ia dapat benar-benar dihayati bersama.

“(Dalam) Program-program kemasyarakatan dan tradisional Melayu, masyarakat kaum lain harus bersama-sama membudayakannya bagi memupuk semangat perpaduan yang lebih erat lagi. Ini harus dimainkan peranannya oleh DAP.

“Ahli-ahli DAP juga perlu mendidik keluarga dahulu supaya dari kecil dibiasakan dengan kepelbagaian budaya dan ianya tidak lagi kekok apabila meningkat dewasa atau masa depan,” tambahnya.

Sementara itu, mengulas kenyataan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebing Tinggi, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, wacana perbincangan dalam kalangan ahli Melayu parti dengan penglibatan ahli sosiologi atau pengkaji politik Melayu perlu diadakan ke arah itu.

“Perlu ada program khusus dan ini kena difikir oleh ahli-ahli Melayu. Wacana di kalangan aktivis tetapi kena ada pakar rujuk terdiri daripada ahli sosiologi atau pengkaji politik Melayu khususnya luar bandar,” katanya lagi.