DAP puji tindakan pantas Pulau Pinang hantar Exco, Adun ke Christchurch

DAP puji tindakan pantas Pulau Pinang hantar Exco, Adun ke Christchurch

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu memuji tindakan tangkas Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghantar Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang, Phee Bon Poh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas, Azrul Aziz Mahathir ke Christchurch, New Zealand.

Ia bertujuan untuk menemani ahli keluarga salah satu daripada tiga rakyat Malaysia yang tercedera dalam serangan kejam yang dilakukan oleh seorang pengganas New Zealand terhadap orang Islam yang tidak bersalah semasa menunaikan Solat Jumaat.

Kata beliau, YB Phee dan ahli keluarganya pernah menetap di New Zealand untuk beberapa lama dan mempunyai ramai kenalan yang merupakan pemimpin kerajaan tempatan di Christchurch.

“YB Phee Bon Poh dan YB Azrul bukan sahaja akan mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menjaga kepentingan rakyat Pulau Pinang yang tercedera dalam serangan yang dahsyat tersebut, tetapi juga untuk 2 rakyat Malaysia lain yang turut tercedera.

“Mereka berdua telah menghubungi Wisma Putra untuk mengatur keperluan logistik untuk memastikan Kerajaan Malaysia bertindak sebagai satu negara dalam menghulurkan bantuan, simpati dan solidariti terhadap 3 mangsa yang tercedera tersebut,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Guan Eng, DAP mengulangi kecamannya terhadap aksi keganasan melampaui akal rasional yang telah meragut 49 nyawa dan mencederakan 48 yang lain.

DAP ujarnya, percaya bahawa pihak berkuasa New Zealand telah menangkap semua pembunuh dan akan memastikan keadilan terlaksana bagi pihak mangsa kejadian ini. Kami berharap agar bukan sahaja 3 rakyat Malaysia tersebut, tetapi semua yang tercedera akan pulih sepenuhnya.

“Pembunuhan rambang yang dilakukan oleh seorang pengganas berkulit putih terhadap orang Islam yang tidak bersalah sewaktu menunaikan solat di dalam sebuah rumah ibadah di dalam negara New Zealand yang dikenali aman dan selamat, sangat-sangatlah keji.

“Pada saat-saat tragedi penuh kebencian seperti ini, semua negara dan semua bangsa harus berdiri berdampingan demi keamanan, hormat untuk kebebasan dan kepelbagaian beragama, toleransi, keharmonian, dan belas kasihan. Tamadun manusia terbina bukannya melalui kebencian tetapi melalui kasih sayang antara satu sama lain sebagai umat manusia,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan itu.