Malaysia Dateline

DAP Sabah sokong Shafie Apdal jadi PM

DAP Sabah menyokong cadangan Shafie Apdal untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia sekali gus menyambut cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut kenyataan bersama Ahli Parlimen DAP Sabah, ini adalah berikutan setelah Pakatan Harapan Plus masih belum dapat menyelesaikan kebuntuan calon PM.

Kata kenyataan itu, ini adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia sejak 1963 bahawa pemimpin Malaysia Timur dari Sabah atau Sarawak disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri yang berpotensi untuk Kerajaan Persekutuan.

“57 tahun telah berlalu dan tidak pernah ada pemimpin dari Malaysia Timur yang dipertimbangkan secara serius untuk jawatan tersebut.

“Kami percaya sudah tiba masanya seseorang dari Malaysia Timur memimpin negara ini seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963, Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu yang tiga rakan setara dalam Persekutuan Malaysia tanpa wilayah yang lebih penting atau unggul daripada yang lain.

“Malah Malaysia Timur mampu melahirkan pemimpin yang berkebolehan dan cekap yang dapat memimpin negara dan harus diberi peluang.

“Tidak ada masa yang lebih baik daripada sekarang apabila pemimpin dari Semenanjung Malaysia tidak dapat memutuskan pemimpin yang lebih baik di antara mereka dan dengan adanya pemimpin dari Malaysia Timur sebagai Perdana Menteri Persekutuan Malaysia, maka Sabah dan Sarawak tidak perlu lagi bimbang tentang pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 atau bimbang akan dipinggirkan dalam belanjawan pembangunan lagi.

“Kami meramalkan bahawa Shafie jika dipucuk pimpinan akan ada penyelesaian cepat untuk masalah royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan ladang minyak, meninjau Undang-Undang Laut Teritori 2012 [Akta 750] dan hak negara,” ujar kenyataan itu.

Sehubungan DAP Sabah menggesa semua Anggota Parlimen dari Malaysia Timur untuk memberi sokongan kepada Shafie bagi mencata sejarah Malaysia dengan memiliki Perdana Menteri Malaysia pertama dari Timur.

“Kami turut menyeru PBS Sabah, STAR, PBRS, dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), untuk memberikan keyakinan terhadap Shafie sebagai PM.

“Langkah ini akan membolehkan Sabah dan Sarawak dapat memperoleh keuntungan daripada lebih banyak pembangunan dan dapat meningkatkan taraf hidup penduduk di kedua-dua negeri di sini.

“Kami juga percaya bahawa tidak ada cara yang lebih baik untuk memastikan bahawa hak-hak negeri Sabah dan Sarawak dikembalikan dan dijunjung dengan tepat.

Kenyataan tersebut adalah dikeluarkan bersama dan ditandatangani oleh Frankie Poon Ming Fung Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (ADUN) Tanjong Papat, Pemangku Pengerusi DAP Sabah Chan Foong Hin yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu dan Setiausaha DAP Sabah Noorita Sual, yang merupakan Ahli Parlimen Tenom.

Turut sama ialah Naib Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong Sze Phin (ADUN) Sri Tanjong, Penasihat DAP Sabah Phoong Jin Zhe (ADUN) Luyang, Ketua DAPSY Sabah Jannie Lasimbang (ADUN) Kapayan, Ketua Wanita DAP Sabah Adrian Banie Lasimbang yang juga Senator, Dewan Negara, Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah Vivian Wong Shir Yee selaku Ahli Parlimen Sandakan,Tan Lee Fatt (ADUN) Likas, Penolong Setiausaha DAP Sabah Calvin Chong Ket Kiun (ADUN) Elopura dan Ronnie Loh Ee Eng yang merupakan Bendahari DAP Sabah.