DAP saran ganti pekerja Bangladesh dengan pendatang asing Sabah

DAP saran ganti pekerja Bangladesh dengan pendatang asing Sabah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan pusat disaran mengambil 1.2 juta pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Sabah daripada membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ke negara ini.

Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt berkata langkah ini dapat menyelesaikan isu Pati di negeri itu yang berleluasa sejak sekian lama selain kadar pengangguran dan kemiskinan yang tinggi.

Apatah lagi tambah beliau,  pekerja Bangladesh tidak memahami budaya tempatan berbanding pendatang asing di Sabah yang telah lama menetap di negara ini malah boleh bertutur bahasa Malaysia.

“Mereka (PATI di Sabah) lebih memahami budaya kita dan boleh berbahasa Malaysia. Mereka boleh mengisi peluang pekerjaan dalam sektor kritikal yang diperlukan khususnya di Semenanjung Malaysia,” katanya dipetik Roketkini.com.

Stephen mencadangkan mekanisme konkrit dilaksanakan kerajaan bagi mengurus dokumentasi dan permit kerja kepada Pati di Sabah sekaligus membantu mengatasi masalah mereka.

Beliau bagaimanapun menegaskan, cadangan DAP Sabah ini bukan bermaksud membelakangkan pendirian parti itu yang selama ini bertegas terhadap isu pekerja asing.

“Kita tetap bertegas bahawa rakyat tempatan harus diberi penekanan kepada latihan dan pembangunan sumber manusia yang berkualiti menuju negara berpendapatan tinggi.

“DAP sentiasa konsisten dengan pendirian kita terhadap pekerja asing, bagaimanapun disebabkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkeras mahu membawa pekerja dari Bangladesh, jadi kita cadangkan bagaimana jika kerajaan mengambil 1.2 juta Pati dari Sabah sahaja,” katanya.

Keputusan membawa masuk 1.5 juta pekerja asing Bangladesh menimbulkan bantahan pelbagai pihak berikutan bilangan Pati di negara ini semakin membimbangkan khususnya dari segi perubahan populasi, keselamatan dan kesihatan.

Statistik Kementerian Sumber Manusia pada 2014 mendedahkan seramai 6.7 juta pekerja asing berada di Malaysia dan hanya 2.1 juta memiliki permit kerja sah.

TAGS