DAP saran MCA keluar BN sertai PH

Oleh MALAYSIADATELINE

Pengerusi DAP Tan Kok Wai hari ini menyarankan agar MCA keluar Barisan Nasional (BN) sekiranya nasib tidak menyebelahi mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Balakong bulan depan agar menyertai Pakatan Harapan (PH).

Katanya PH bersedia menimbang MCA sebagai parti komponen yang baharu dengan syarat parti berasaskan kaum Tionghoa itu bersetuju dengan prinsip PH.

“Mereka harus sertai kami sebagai sebahagian daripada PH sekiranya mereka kalah pada PRK ini. Itupun jika mereka bersetuju dengan prinsip PH dan mahu menyertai kami,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan bersama calon PH Wong Siew Ki, hari ini, lapor Bernama.

Pada Khamis lalu, Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Ong Ka Chuan dilaporkan berkata keputusan PRK Dun Balakong merupakan pengukur masa depan MCA bersama BN.

Pada masa sama, Naib Presiden parti Datin Paduka Chew Mei Fun yang juga Pengarah PRK Balakong dilaporkan mengakui sukar untuk MCA merampas kembali Dun berkenaan daripada genggaman PH.

Mengulas lanjut, Tan yang juga Anggota Parlimen Cheras, berkata keputusan MCA menggunakan logo sendiri pada PRK Dun Balakong juga jelas menunjukkan parti itu sudah tidak sehaluan dengan BN.

Pada masa sama, Tan membidas MCA yang membuat pusingan ‘U’ berhubung PAS apabila turut mengajak parti itu berkempen pada PRK berkenaan selain berkempen untuk Pas di PRK Dun Seri Setia yang berlangsung serentak dengan PRK Balakong.

“Dahulu mereka (MCA) pernah menyatakan akan keluar BN sekiranya Umno bekerjasama dengan Pas, sekarang sudah jelas (Umno bekerjasama dengan Pas), mengapa mereka (MCA) senyap dalam hal ini,” katanya.

Sementara itu, Wong menjangka lebih 60 peratus pengundi di kawasan itu akan menunaikan tanggungjawab mereka pada 8 Sept ini.

Namun katanya jentera parti sedang berusaha memastikan lebih ramai keluar mengundi dengan sasaran 80 peratus berbuat demikian.

PRK DunBalakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie daripada DAP dalam satu kemalangan jalan raya, 20 Julai lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, mendiang Ng menewaskan calon BN Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (Pas) dengan majoriti 35,538 undi.