DAP Sarawak gesa kerajaan negeri umum subsidi penerbangan pelajar IPT

DAP Sarawak gesa kerajaan negeri umum subsidi penerbangan pelajar IPT

Kerajaan negeri digesa supaya mengumumkan secara rasmi mengenai pemberian subsidi untuk membeli tiket kapal terbang kepada pelajar institusi pengajian tinggi balik ke Sarawak dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan pada musim perayaan.

Timbalan Pengerusi DAP Sarawak David Wong Kee Woan berkata ini kerana sehingga kini belum ada pengumuman rasmi pemberian subsidi itu dibuat oleh kerajaan negeri.

“Apa yang ada sekarang hanyalah pengumuman daripada seorang YB melalui sebuah badan bukan kerajaan. Tiada sebarang pengumuman rasmi daripada kerajaan negeri mahupun oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sendiri mengenai perkara itu,” katanya kepada pemberita pada jamuan tengah hari Tahun Baharu Cina DAP Sibu di sini hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu berkata, ramai pelajar yang masih belum tahu cara untuk memohon subsidi itu dan tiada garis panduan diberikan mengenainya.

Apa yang diuar-uarkan ialah setiap pelajar boleh memohon subsidi bernilai RM300 itu dengan mengemukakan ‘boarding pass’ dan surat pengesahan daripada pihak institusi pengajian tinggi.

“Ada ramai telah balik hari ini untuk sambutan Tahun Baharu Cina dan ada kemungkinan di kalangan mereka tidak menyimpan boarding pass itu,” katanya.

Sehubungan itu, Wong berkata kerajaan negeri ataupun ketua menteri harus membuat pengumuman rasmi mengenai pemberian subsidi itu secara rasmi dan bukannya oleh mana-mana pihak melalui mana-mana organisasi bukan kerajaan.

Pemberian subsidi tersebut diumumkan semalam dalam siaran media oleh Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Fazzrudin Abdul Rahman yang juga ADUN Tupong melalui laman Facebook Sarawak Volunteers yang mana beliau adalah penasihatnya.

Fazzrudin dipetik sebuah media tempatan sebagai berkata, Ketua Menteri telah meluluskan inisiatif bagi meringankan beban pelajar-pelajar Sarawak untuk membeli tiket penerbangan balik bermula dari musim perayaan Tahun Baharu Cina 2019.

Menurut beliau, setiap pelajar layak memohon subsidi ini dua kali sahaja setahun dan pemohon perlu mengemukakan bukti pembelian tiket penerbangan, dokumen akses memasuki pesawat (boarding pass) serta surat pengesahan sebagai pelajar institusi pengajian tinggi.

Sementara itu, Wong berkata DAP Sibu akan mengadakan rumah terbuka Tahun Baharu Cina di ibu pejabat parti itu di Taman Rejang di sini pada 10 Feb.

“Rumah terbuka yang merupakan acara tradisi DAP Sibu akan diadakan dari pukul 9.30 pagi sehingga 12 tengah hari dan orang ramai yang berkelapangan dipersilakan hadir untuk memeriahkannya,” kata beliau.