Malaysia Dateline

DAP Sarawak sedia bantu pekerja ‘frontliner’ di Hospital Umum Sarawak

DAP Sarawak menyerahkan sumbangan sebanyak 1,500 penutup mulut dan hidung kepada Hospital Umum Sarawak di Kuching.

Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak bersedia membantu pekerja barisan hadapan (frontliner) dan kakitangan perubatan dalam menghadapi tugas sukar pada saat ini.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata, pihaknya akan sentiasa berusaha keras bagi mendapatkan lebih banyak peralatan kesihatan penting dalam membantu hospital dan klinik menangani wabak COVID-19.

Justeru, beliau berkata, sejak bilangan kes Covid-19 di Sarawak meningkat, DAP Sarawak telah bergiat aktif untuk mendapatkan bekalan dan penting utama bagi pekerja barisan hadapan dan kakitangan hospital.

“Pekerja barisan hadapan telah banyak membantu masyarakat dan ini masa terbaik untuk kita membalas jasa mereka,” ujar beliau dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Untuk itu, jelasnya, DAP Sarawak telah menyerahkan sumbangan sebanyak 1,500 penutup mulut dan hidung jenis N95 kepada Hospital Umum Sarawak semalam.

“Bantuan ini diperolehi melalui sumbangan awam yang bertujuan bagi menangani kekurangan bekalan perubatan selain membantu pekerja barisan hadapan dan kakitangan perubatan pada waktu sukar ini.

“Maka, kita semua juga mempunyai tanggungjawab kolektif, untuk menjaga satu sama lain dan cara terbaik adalah untuk kita tinggal di rumah dan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan,” jelas beliau lagi.

Dr Kelvin menambah, langkah berkenaan bukan sahaja membantu membendung penyebaran wabak, malah dapat membantu meringankan beban pekerja perubatan agar dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada mereka yang benar-benar memerlukan rawatan.

“Terima kasih kepada penderma dan juga semua barisan hadapan atas komitmen, kerja keras dan pengorbanan anda untuk kita semua.

“Hari demi hari, pekerja barisan hadapan termasuk kakitangan perubatan menjalankan tanggungjawab dengan tekun untuk memastikan kita dilindungi dan dijaga,” kata beliau.