Malaysia Dateline

DAP Sarawak sediakan khidmat bawa penerima vaksin ke PPV

Parti Tindakan Rakyat (DAP) Sarawak mengambil inisiatif dengan menawarkan perkhidmatan teksi percuma kepada orang ramai yang mahu ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Pengerusinya, Chong Chieng Jen berkata, perkhidmatan pengangkutan percuma itu adalah bagi mereka yang mempunyai janji temu vaksinasi Covid-19 di kawasan sekitar Kuching.

“Kita bekerjasama dengan Persatuan Teksi Bahagian Kuching bagi menyediakan pengangkutan percuma kepada orang awam yang tidak mempunyai pengangkutan untuk pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Sebagai permulaan, DAP Sarawak menyediakan sebanyak RM100 untuk setiap perjalanan dan berjanji akan meningkatkan jumlah itu sekiranya orang ramai memerlukan perkhidmatan ini,” jelasnya.

Tambah Chong, orang ramai tidak perlu membayar pemandu teksi kepada pihaknya, sebaliknya DAP Sarawak yang akan membayar pemandu teksi untuk menjemput dan menghantar mereka ke PPV seterusnya membawa balik semula ke rumah.

“Kita akan membayar bil itu. Semoga ini dapat memudahkan program vaksinasi dan juga membantu industri teksi.

“Dengan ini, perkhidmatan pengangkutan itu juga akan dapat membantu sektor teksi yang terjejas sejak bermulanya penularan pandemik Covid-19 serta susulan penguatkuasaan sekatan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Justeru, mudah-mudahan dengan program ini, kita dapat membantu mereka,” ujar beliau.

Malah, beliau turut menyarankan orang ramai yang memerlukan perkhidmatan berkenaan untuk menghubunginya.

Selain beliau, orang ramai juga boleh menghubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending Violet Yong, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii atau mana-mana pembantu khasnya iaitu Michael Kong, Sim Kiat Leng dan Abdul Aziz Isa.