Malaysia Dateline

DAP Sarawak sokong Shafie, beri had masa Anwar dapatkan sokongan

DAP Sarawak akan terus menyokong Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon pembangkang untuk jawatan Perdana Menteri namun sedia memberi peluang dengan had masa tertentu untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan beliau ada sokongan yang cukup.

Menurut Pengerusinya, Chong Chieng Jen, Sarawak mempunyai autonomi sendiri dan berdiri bersama dengan rakan sejawat pembangkang dari Sabah dalam menyokong Shafie yang juga merupakan Presiden Warisan, sebagai Perdana Menteri.

“Bagaimanapun, kami tetap menghormati keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk kembali memberi komitmen kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia.

“Justeru, kami sangat percaya bahawa Shafie Apdal tetap menjadi faktor penting dan tidak dipisahkan daripada arus politik nasional terutamanya dalam memecahkan ‘ketoksikan’ politik perkauman dan agama yang telah terlalu lama dalam politik nasional dan juga untuk mencapai yang lebih baik yang mungkin tidak pernah dirasakan oleh masyarakat Malaysia sebelum ini dalam hal hubungan Persekutuan-Negeri, ”kata beliau dalam satu kenyataan.

Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin menambah, Shafie yang merupakan Ketua Menteri Sabah telah konsisten memerangi rasuah dengan tetap setia kepada mandat rakyat dan bukannya bergabung dengan pemerintahan Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

Sebelum ini, pada 13 Julai lalu Majlis Presiden Pakatan Harapan mengesahkan sokongannya untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng antara yang menandatangani sokongan itu bagi pihak parti yang mempunyai 42 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dengan enamnya ialah dari Sarawak.

“Walaupun Anwar adalah pilihan pertama DAP, tarikh akhir mesti ditetapkan untuk mendapatkan sokongan yang cukup sekiranya Shafie harus diberi peluang untuk membuktikan dirinya,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, negara tidak mampu menjadikan PAS-Umno untuk terus menerajui Kerajaan Persekutuan yang sudah menunjukkan tanda-tanda kembali kepada cara lama yang korup seperti perbelanjaan dana awam yang tidak bijaksana dan pelupusan beberapa kes berprofil tinggi yang melibatkan rasuah dan pengubahan wang haram.

“Memiliki Perdana Menteri dari Malaysia Timur akan membantu kita melangkah jauh daripada politik lama yang telah lama selain mempu membentuk negara baharu yang harmoni antara kaum dan inklusif dalam pembangunan.

“Kami percaya sudah tiba masanya wakil dari Malaysia Timur harus berada di barisan hadapan bagi mengubah Malaysia menjadi negara yang lebih progresif, membangun dalam era Malaysia Baharu sekali gus kita akan bersama-sama berusaha untuk capai ke arah itu,” tegasnya.