Malaysia Dateline

DAP sedia kerjasama gubal undang-undang anti lompat parti

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan ke arah melaksanakan reformasi institusi, terutama pindaan Perlembagaan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, hal tersebut termasuk suara majoriti diperlukan dalam menggubal undang-undang berkaitan anti lompat parti.

“Kami (DAP) bersedia bekerjasama demi melaksanakan reformasi institusi, terutama pindaan perlembagaan yang memerlukan dua pertiga majoriti untuk menggubal undang-undang anti lompat parti,” katanya dalam perutusan Hari Kebangsaan DAP 2021, hari ini.

Beliau berkata, DAP bersedia melihat ke hadapan dan mengambil langkah yang disifatkannya sukar untuk bekerjasama dengan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan mengambil guna pelan reset Covid-19 dan pelan pemulihan ekonomi bernilai RM45 bilion untuk mengembalikan negara serta ekonomi Malaysia kepada situasi normal.

Walau bagaimanapun, Guan Eng berkata, pendirian DAP itu bukan bererti sedia untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan kerajaan yang cuba berdiri atas jenama ‘Keluarga Malaysia’ itu.

“Kesediaan untuk bekerjasama (dengan kerajaan) bagi memerangi COVID-19 dan mengatasi krisis ekonomi ini bagaimanapun tidak boleh disalah anggap sebagai PH (Pakatan Harapan) atau DAP membentuk kerajaan perpaduan dengan Ismail Sabri. Ini tidak benar dan jauh daripada kebenaran,” tegasnya.