Malaysia Dateline

DAP sedia pertimbang tawaran PM asalkan bukan mengiyakan kerajaan

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk pimpinan pembangkang menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 sedia dipertimbangkan.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan asalkan ia bukan untuk mencukupkan syarat pembabitan pembangkang dalam majlis dan jawatankuasa berkenaan.

“Demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian (rakyat), DAP sedia mempertimbang tawaran kepemimpinan pembangkang menyertai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid19.

“Kita pertimbang asalkan ia bukan untuk mencukupi syarat dan mengiyakan pandangan kerajaan semata-mata.

“Yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua,” dipetik daripada ciapan di Twitter, hari ini.

Dalam ucapan sulung Ismail Sabri petang tadi, pemimpin Umno itu menawarkan ruang kepada kepemimpinan pembangkang untuk menganggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Menurut Ahli Parlimen Bera tersebut, kerjasama rentas parti akan diwujudkan dalam mencapai kestabilan politik yang perlu segera dicapai menerusi kebersamaan bagi menangani kemelut politik yang melanda negara.

Setakat ini, DAP mempunyai anggota Dewan Rakyat terbanyak iaitu 42 kerusi berbanding dua parti anggota Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR dan AMANAH iaitu masing-masing 35 dan 11 kerusi.

Ismail Sabri menerima sokongan 114 Ahli Parlimen menggantikan kedudukan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin sebagai Perdana Menteri yang meletak jawatan selepas hilang sokongan majoriti.

Mahiaddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) pada 1 Mac 2020 mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan selepas Pakatan Harapan (PH) tidak lagi mempunyai majoriti.

Kerajaan PH tumbang selepas Bersatu dipimpin Mahiaddin dan 11 Ahli Parlimen PKR berpaling tadah manakala kerajaan PN diterajuinya kemudian jatuh setelah sebahagian Ahli Parlimen Umno menarik sokongan.

Tempoh kerajaan diterajui Ismail Sabri hanya berbaki 21 bulan sebelum Parlimen dibubarkan bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Buat masa ini, kerajaan dipimpin Ismail disokong 54 Ahli Parlimen PN, BN (41), Gabungan Parti Sarawak (18) serta seorang Ahli Parlimen dari Parti Bersatu Sabah (PBS).