Reaksi DAP atas saranan tidak letak calon Melayu di kerusi DUN Johor

Reaksi DAP atas saranan tidak letak calon Melayu di kerusi DUN Johor

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

DAP Johor memahami hasrat Parti Amanah Negara (Amanah) agar DAP tidak meletakkan calon Melayu di kerusi Dewan Undangan Negeri di Johor sebagaimana saranan dibuat oleh Timbalan Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad pada Persidangan Pakatan Harapan semalam.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor Sheikh Omar Ali yakin kenyataan dibuat oleh Dzulkefly sebagai reaksi yang diluahkannya berikutan hambatan Umno yang mengheret rakyat khususnya Melayu ke arah politik perkauman.

“ Saya memahami kebimbangan Timbalan Amanah Johor semasa sesi ulasan dalam persidangan pimpinan Pakatan Harapan semalam menerusi saranan beliau agar DAP tidak meletakkan calon Melayu untuk kerusi DUN di Johor.

“Lebih-lebih lagi sikap ‘main mata’ PAS-Umno yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini ditambah dengan serangan fitnah mereka terhadap DAP yang kononnya anti Islam dan Melayu, secara tidak langsung memberi kesan terhadap Amanah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Secara peribadi, Sheik Omar berkata, sebagai seorang ahli DAP berbangsa Melayu dan beragama Islam yang bergerak kerja di Johor, DAP akan terus memberi focus untuk mengangkat isu-isu sebenar yang membelenggu rakyat.

“Saya amat yakin bahawa rakyat tidak boleh dibiarkan terus hanyut dengan permainan dan propaganda Umno yang terus mengusung agenda perkauman sempit.
“Saya juga menyahut seruan Presiden Amanah, Mohamad Sabu , kita tidak boleh terus menerus mengikut rentak tari yang dimainkan Umno.

“Kita sedar, jika Pakatan Harapan terus menari mengikut rentak tari Umno, ia tidak lebih dari sekadar mengukuhkan lagi kekuatan mereka,” ujarnya.

Beliau menambah DAP perlu konsisten mengambil langkah mendidik rakyat dan tidak akan sekali-kali merendahkan maruah serta kebijaksanaan yang dimiliki oleh rakyat.

“ Kami yakin bahawa rakyat tidak bodoh, dan tidak akan terus kekal diperbodohkan oleh Umno yang terus menerus memerangkap mereka dengan agenda sempit perkauman.

“Jika Pakatan Harapan dapat kekal atas landasan ini, mendidik dan memberikan penerangan secara lebih agresif, proaktif dan konsisten kepada rakyat khususnya masyarakat Melayu, saya yakin perubahan politik di Johor dan Putrajaya akan berlaku.

“Pilihanraya umum bakal berlaku lebih kurang dua tahun dari sekarang. Saya optimis, jangka masa tersebut adalah lebih daripada cukup untuk Pakatan Harapan berbuat sesuatu bagi membela rakyat.

“Apapun, saya amat yakin bahawa soal kerusi, calon dan gerak kerja pilihan raya akan dibincangkan lebih mendalam dan bijaksana oleh pimpinan Pakatan Harapan sepertimana semangat kesatuan yang telah ditunjukkan menerusi dokumen perjanjian yang ditandatangani semalaam bagi memastikan kemenangan dalam PRU ke 14 dan agenda memertabat rakyat dapat direalisasikan,” ujarnya.

TAGS