Malaysia Dateline

DAP sumbang pam RM20,000 bantu mangsa lawan Covid-19

Parti DAP Sarawak telah menyumbangkan sebanyak lima Pam Infus dengan tiang IV (pendiri) yang bernilai RM20,000 kepada Hospital Umum Sarawak semalam bagi membantu mangsa melawan Covid-19.

Menurut pengerusinya, Chong Chieng Jen, peralatan tersebut diperlukan untuk ‘mendispen’ ubatan dalam bentuk titisan IV kepada pesakit termasuk mereka yang dijangkiti virus COVID-19.

Katanya, Hospital Umum Sarawak amat memerlukan semua peralatan itu dengan pesakit sedia ada terpaksa menunggu masa panjang untuk menggunakannya mengikut prosedur kerajaan sedia ada.

“Dalam keadaan yang mendesak seperti ini langkah segera perlu dilakukan dan DAP Sarawak telah mengambil langkah proaktif menangani masalah ini.

“Terima kasih kepada penderma dana yang merealisasikan pembelian peralatan ini semua.

“Juga ucapan terima kasih kepada Julian Tan Kok Wei(mantan Ahli Parlimen Stampin) atas usaha gigih beliau memastikan penghantaran peralatan ke Hospital Umum Sarawak,” jelas Chong dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Beliau memberitahu, DAP Sarawak kini masih dalam proses menunggu peralatan-peralatan perlindungan diri(pekerja perubatan) yang sedang dalam proses penghantaran menggunakan laluan udara.

“Kami menjangkakan semua peralatan tersebut akan tiba ke Kuching selewat-lewatnya hari ini.

“Sehubungan itu juga saya menyeru kepada warga Sarawak supaya semua kekal tabah, bersikap positif dan bersatu dalam menghadapi krisis di saat ini,” tambah beliau lagi.