Malaysia Dateline

Lim Guan Eng

DAP syor Majlis Presiden PH calonkan semula Mahathir sebagai PM

DAP mengesyorkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini, agar terus mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata, ini supaya PH dapat terus memenuhi dan menyampaikan janji-janji dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Laporan The Edge bahawa Tun M berhenti sebab tak nak bekerjasama dengan Umno adalah memang benar.

“Tun M menyatakan secara jelas bahawa beliau tak boleh bekerja dengan Umno tatkala kita telah bertungkus lumus menolak mereka semasa PRU.

“Kami memuji pegangan prinsip Tun M yang menolak bekerja dengan Umno di mana pemimpin mereka terbabit dengan amalan rasuah yang menjadikan Malaysia sebuah negara kleptokasi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP, di Jalan Yew hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengutuk beberapa tindakan pemimpin Ahli Parlimen dalam komponen parti PH yang cuba untuk menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang sehingga menyebabkan perletakan jawatan Dr Mahathir.

Beliau menjelaskan, parti baru yang dicadangkan untuk menggantikan PH adalah Pakatan Nasional yang terdiri dari Umno, Pas, MCA, MIC, Bersatu, serta mereka yang telah dipecat dari PKR

Menurutnya, manipulasi politik tersebut menjejaskan usaha kerajaan untuk menangani sektor ekonomi Malaysia dan kos sara hidup rakyat.

“Mahathir jelas menentang usaha khianat ini kerana cuba menolak mandat rakyat yang diberikan kepada PH dengan perletakan jawatan sebagai PM.

“Perlu dinyatakan bahawa ini adalah kali pertama seorang PM bersedia letak jawatan atas prinsip menegakkan integriti dan untuk melawan rasuah.

“Kedudukan berprinsip dan konsisten ini menolak sebuah parti korupsi iaitu Umno, perlu disokong oleh semua rakyat Malaysia,” katanya.