DAP terharu pengarang NST letak jawatan kerana 1MDB

DAP terharu pengarang NST letak jawatan kerana 1MDB

Bagi Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, masih ada individu dalam kelompok arus perdana yang masih mempunyai pendirian, integriti, kebenaran, dan ketelusan dalam dirinya.

Beliau merujuk kepada Pengarang Kumpulan The New Strait Times (NST), Mustapha Kamil yang menyerahkan surat perletakan jawatan pada awal bulan Mei lalu dan berkuatkuasa Selasa lepas.

Mustapha yang berpengalaman 27 tahun dalam bidang kewartawanan ketika ditemui pemberita awal Mei lalu bagaimanapun enggan mengulas mengenai keputusannya itu.

Namun, Selasa lalu, dalam satu kemas kini laman sosial, Facebook, beliau dalam kias menyebut antaranya perkara “yang berlaku di depan batang hidung”nya sendiri telah memberikan anugerah Pulitzer kepada media antarabangsa di Manhattan, New York.

Ekoran itu, Mustapha mempersoalkan kedudukannya di syarikat berkenaan, sedangkan media antarabangsa luar negara telah membongkarkan skandal yang terjadi di negaranya sendiri, yang seterusnya disusuli dengan keputusan untuk meletak jawatan.

Menurut Kit Siang, perkara yang berlaku dihadapan “batang hidung” Mustapha itu adalah berkaitan skandal kewangan 1MDB, syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Malaysia dan anugerah yang diterima antarabangsa itu adalah merujuk kepada WSJ yang memenanginya ekoran laporan dan pendedahan skandal terbabit.

“Akan adakah wartawan media arus perdana di Malaysia yang lain berani untuk menegakkan “disiplin kebenaran” (truth discipline) atau yang boleh mengikut hati nurani mereka untuk membezakan apa yang salah dan apa yang benar untuk negara mereka dan generasi akan datang?” soalnya.

Beberapa tokoh yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga institusi negara telah ternyata hilang integriti berikutan misteri skandal global 1MDB.

Mengambil Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin sebagai contoh, Ketua Parlimen DAP itu berkata, Arifin dengan secara “unilateral dan sewenang-wenangnya telah mengubah laporan akhir PAC”.

Beberapa perenggan daripada laporan PAC yang diubah atau dipadam itu dipercayai berkaitan isi surat Bank Negara Malaysia kepada Pengerusi PAC yang membuat pendedahan panas mengenai pemilik Good Star Ltd. – Roketkini.com

TAGS